Pesona Harry Styles

Selain bakat luar biasa dalam cabang muzik yang dimuntahkan oleh seorang lelaki bernama Harry Styles, dia juga menghipnotis ramai peminat menerusi debut lakonan di layar perak berjudul Dunkirk

Memetik laporan Kosmo, sejak bergerak solo dan meminggirkan jenama band popular One Direction buat seketika, Styles atau nama sebenarnya, Harry Edward Styles sudah membuatkan ramai terpegun dengan kredibilitinya sebagai seorang pelaku seni.

Dalam tempoh setahun, Styles, 23, boleh dikatakan antara anggota kumpulan tersebut yang paling menyerlah. Masakan tidak, menerusi album debut solonya berjudul Harry Styles, dia mendapat sambutan dan pujian daripada pemerhati muzik terutama daripada para peminat seluruh dunia.

Single perdana daripada karya tersebut, Signs of the Times adalah perkongsian muzik yang amat berbeza berbanding daripada anggota One Direction lain seperti Niall Horan, Liam Payne, Louis Tomlinson, begitu juga bekas anggota yang menjadi perhatian ramai, Zayn Malik. Memilih haluan muzik bernuansa rock, Styles yang berketinggian 180 sentimeter itu berjaya mencipta identiti tersendiri.

Dunkirk

Menyentuh tentang debutnya di layar perak menerusi naskhah Dunkirk arahan sutradara tersohor, Christopher Nolan, Styles ketika berkunjung dalam program bual bicara The Tonight Show Starring Jimmy Fallon berkata, dia sangat mengagumi hasil kerja Nolan.

“Saya merupakan peminat setia karya-karya Nolan. Saya sangat beruntung kerana dapat bekerja bukan sahaja dengan dia malah semua orang yang terlibat dalam pembikinan Dunkirk.

“Filem ini bukan berpaksikan cerita klise yang memaparkan seorang hero cuba menyelamatkan orang ramai. Ia tentang semangat kebersamaan orang awam yang bersatu sekali gus mengubah dunia,” ujar lelaki kelahiran England itu.

Satu fakta menarik tentang pemilihan Styles untuk melakonkan watak tentera British bernama Alex, dia perlu melalui proses uji bakat dan Nolan sebagai pengarah sendiri tidak mengetahui bahawa Styles ialah seorang penyanyi popular yang menjadi kegilaan ramai.

“Nolan sendiri tidak kenal saya ketika menjalani sesi uji bakat tetapi saya sangat suka dengan filem-filem arahannya. Bekerja dengan Nolan, dia memberi kebebasan kepada saya untuk mengembangkan watak namun dia sememangnya seorang pengarah yang sangat teliti,” ujar Styles.

Buat mereka yang sudah menghadam Dunkirk di pawagam pasti sedia maklum bahawa ia sebuah naskhah yang tidak banyak dialog tetapi lebih menumpukan terhadap emosi pelakon serta epilog kisah perang yang diangkat daripada kisah benar sejarah Perang Dunia Kedua.

Pesan Styles terhadap khalayak yang belum atau bakal menonton Dunkirk: “Filem ini sangat luar biasa. Anda harus menontonnya di panggung IMAX kerana walaupun tidak banyak dialog yang dilemparkan, anda akan merasakan bukan seperti menonton wayang sebaliknya seperti berada di tempat kejadian. Senang cerita, setiap adegan daripada setiap pelakon akan membuatkan anda tidak senang duduk.”

Percubaan perdana Styles dalam bidang perfileman menerusi Dunkirk rata-rata mendapat pujian ramai. Bagaimanapun harus diingatkan, usah duduk di kerusi panggung wayang semata-mata untuk menonton Styles yang popular dengan jenama One Direction atau auranya sebagai seorang penyanyi kerana penglibatannya dalam naskhah tersebut adalah satu elemen komersial yang berbeza.

Muzik

Dalam pada itu di cabang muzik, Styles tidak pernah berhenti mengorak langkah kerana muzik adalah cinta paling agung dalam hidupnya. Selepas One Direction direhatkan seketika, dia dilihat sebagai anggota kumpulan yang paling pantas berkembang sebagai penyanyi solo.

Dia mengerti dan merealisasikan pilihan muziknya yang tersendiri. Tapi sebelum itu pada tahun 2014, Styles mengutarakan idea untuk merehatkan One Direction kerana baginya, dia tidak mahu membuatkan peminat bosan dengan muzik kumpulan itu.

“Saya sayangkan One Direction tetapi saya tidak mahu peminat bosan dengan kami dan saya tidak mahu kepercayaan mereka terhadap kami luntur.

“Kumpulan tersebut memberikan saya nadi dalam hidup. Saya terhutang budi dengan kewujudan One Direction,” getus Harry dalam wawancara dengan majalah terkemuka, Rolling Stone yang dikeluarkan pada 18 April 2017.

Tambahnya lagi, dia teruja untuk berkongsi idea gubahan lagu serta penulisan lirik secara bebas tanpa terlalu bergantung dengan individu lain.

“Saya ingin maju ke hadapan. Banyak lagu yang saya mahu tulis dan rakam sendiri, bukan sahaja berakhir sekadar ini demo yang saya tulis untuk artis lain.

“Sejak berusia 16 tahun, setiap keputusan yang saya buat adalah secara demokrasi. Saya mula merasakan bahawa sudah tiba waktunya saya sendiri buat keputusan untuk masa depan. Mungkin saya tidak patut terlalu bergantung dengan orang lain,” tutur Styles.

Dalam temu bual tersebut, Styles memaklumkan bahawa dia mahu album debutnya dinamakan Signs of the Times namun terpaksa menggugurkan hasrat tersebut.

“Memang saya mahu ia dinamakan Signs of the Times namun judul tersebut telah banyak kali digunakan sebagai judul lagu mahupun album,” terangnya.

Mengulas lanjut mengenai album sulungnya dan rehabilitasi One Direction, kata Styles: “Saya ialah peminat genre rock. Namun, saya tidak mahu didakwa sebagai cuba membina semula muzik rock seperti era 1960-an hingga 1980-an. Saya cuma ingin berlaku jujur dengan diri dan tidak kisah jika cita rasa muzik saya disifatkan sudah ketinggalan zaman.

“Semasa mula-mula mahu bergerak solo, saya berasa amat gementar. Saya gembira dipertemukan dengan anggota lain dalam One Direction. Saya masih belajar dan pengalaman berada dalam kumpulan itu adalah pengajaran terhebat dalam hidup saya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.