Lelaki Pura-Pura Dilanggar, Salah Pilih Mangsa Untuk Peras Ugut

Hefei, China – Seorang lelaki yang berlakon dilanggar sebuah kereta bagi memeras ugut pemandu terkejut selepas mendapati ‘mangsa’ yang disasarkannya sebenarnya kenderaan polis.

Satu rakaman kamera keselamatan yang tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan lelaki itu menunggu di satu tempat letak kereta di bandar Hefei di wilayah Anhui.

Apabila sebuah kereta polis melalui jalan itu, lelaki berkenaan terus merebahkan badannya di jalan raya dan berpura-pura dilanggar, lapor Metro.

Rakaman itu menunjukkan seorang anggota polis keluar dari kenderaannya dan terus melaporkan kejadian itu melalui radio.

Apabila menyedari kenderaan yang cuba ditipunya adalah milik polis lelaki itu segera bangun.

Lelaki itu pada mulanya dilihat cuba melarikan diri tetapi diarahkan berhenti oleh anggota polis berkenaan.

Beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian juga dilihat memarahi lelaki itu.

Media China melaporkan lelaki itu ditahan polis untuk siasatan lanjut dan mungkin berdepan dakwaan kerana cuba menipu.

Menipu dengan berpura-pura cedera dilanggar kenderaan bagi memeras ugut wang sudah menjadi satu kebiasaan di China.

Mengikut undang-undang di China, pemandu yang bersalah dalam sesuatu kemalangan perlu menanggung semua kos rawatan dan membayar ganti rugi.

Namun, undang-undang itu menyebabkan ramai mangsa kemalangan jalan raya tidak dibantu orang ramai kerana bimbang dipersalahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.