Keputusan Pengadil Isu Gol Ofsaid JDT Lawan Perak Muktamad – FAM

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan keputusan jaringan kedua Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika berdepan Perak, Rabu lalu, adalah muktamad.

Namun, katanya Perak masih boleh mengemukakan aduan kepada badan induk itu jika tetap tidak berpuas hati dengan jaringan Mohamed Ghaddar yang dianggap ofsaid.

“Ya betul (keputusan sudah muktamad), tapi kita sentiasa terbuka untuk sebarang aduan dan ia hendaklah disampaikan dengan cara yang betul.

“Aduan bukan boleh ubah keputusan melainkan berkaitan perkara teknikal seperti pengadil tersilap bagi kad kuning kepada pemain.

“Aduan adalah untuk perbaiki mutu pengadilan. Bila mereka hantar aduan, kita boleh buat statistik apa kelemahan pengadil kita,” katanya.

Sebelum ini, sudah ada beberapa pengadil dihukum, termasuk digantung kerana melakukan kesilapan ketika mengendalikan perlawanan.

Selain itu, Subkhiddin turut mengakui tidak terkesan dengan tanggapan negatif segelintir pihak, termasuk pengadil Liga Malaysia (Liga M) ketika ini dianggap lebih memihak kepada JDT kerana pemiliknya adalah Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Apapun, kita perlu lihat secara positif, contohnya gol Ghaddar itu, ia situasi sangat sukar dan keputusan bertaraf dunia yang perlu dibuat pengadil.

“Jika lihat kepada gambar yang sedang viral sekarang ini, pemain itu berada pada kedudukan ofsaid ketika bola itu belum disepak.

“Tapi, apabila dilihat semula, semasa bola itu disepak, nak kata pemain itu ofsaid pun tidak, nak kata tidak ofsaid pun susah kerana kedudukan kamera itu sendiri di tengah-tengah dan tidak membantu,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.