JAKIM Serah Pada Peguam Negara Rayu Kes ‘Bin Abdullah’

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihati umat Islam di negara supaya bertenang berhubung polemik status anak tidak sah taraf.

Pengarahnya berkata pendirian Jakim sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), iaitu meneruskan pendaftaran status ‘bin Abdullah’ sementara menunggu keputusan mahkamah.

“Merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini berhubung dengan isu anak tidak sah taraf, jabatan ini mempunyai pendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu penasaban anak tidak sah saraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperolehi,” kata Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan hari ini.

“Justeru, Jakim menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang dan semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar.”

JPN semalam berkata pihaknya akan tetap menggunakan kaedah sama mengikut Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sehingga kes rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.

Menurut fatwa, anak yang lahir kurang enam bulan kalendar Islam dari tarikh perkahwinan ibu bapanya tidak boleh dibinkan kepada bapa biologinya.

Namun Mahkamah Rayuan baru-baru ini memutuskan JPN boleh berbuat demikian kerana bidang kuasanya sivil dan tidak perlu merujuk keputusan fatwa.

Mahkamah itu membuat keputusan berhubung pendaftaran anak Islam bawah Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.