Budak Meninggal Dunia Dengan Kesan Kecederaan Ditemui Dalam Bilik Mandi

BUDAK lelaki meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada beberapa bahagian badannya selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik mandi di rumahnya di Kampung Terimah, Limbang, kelmarin.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu ditemui kira-kira jam 4.20 petang oleh ibu tirinya dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditinggalkan bermain air di dalam besen.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit dikatakan berseorangan di dalam bilik mandi berkenaan sementara ibu tirinya berada di dapur untuk memadam api dapur.

Menurutnya, melihat keadaan mangsa yang tidak bernyawa, ibu tiri mangsa yang berusia 23 tahun kemudian membawanya ke Hospital Limbang untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebaik tiba di hospital, pasukan perubatan bergegas melakukan pemeriksaan lanjut sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, doktor menemui kesan lebam pada dahi, belakang badan, perut dan kesan luka pada bahagian ari-ari, belakang cuping telingan kanan, mulut, hidung serta punggung kanak-kanak itu,” katanya.

Katanya, kecederaan yang dialami mangsa menyebabkan bapa dan ibu kanak-kanak itu curiga dengan laporan polis yang dibuat ibu tirinya sebelum itu dan meminta siasatan lanjut dijalankan sekiranya terdapat unsur penderaan pada anak mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, setakat ini polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, disebabkan terdapat kecederaan yang dialami kanak-kanak itu, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.

“Bedah siasat akan dijalankan Isnin ini di Hospital Miri dan sebarang perkembangan mengenai siasatan akan dimaklumkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.