Sekutu Pakatan Berisiko Hilang Kerusi Dalam Pilihan Raya Mengejut – Nurul Izzah

KUALA LUMPUR – Sekutu dalam Pakatan Harapan berdepan risiko hilang kerusi mereka jika pilihan raya mengejut diadakan di Pulau Pinang, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, di sini hari ini.

 

Beliau berkata dengan kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru, UMNO (atau Barisan Nasional) mempunyai peluang lebih cerah untuk menang dalam pilihan raya mengejut yang dicadangkan oleh DAP itu.

 

Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi, 19 daripadanya disandang DAP; PKR (10); BN (10) dan PAS (satu).

 

Nurul Izzah berkata komitmen PKR adalah jelas dalam bergerak dan bersetuju di bawah kerangka Pakatan Harapan dan sebarang keputusan mengenai pilihan raya mengejut itu akan dibuat secara bersama.

 

“Saya akan beri sepenuh penghormatan kepada parti DAP dan juga Parti Amanah Negara dalam kerangka Pakatan Harapan,” katanya anggota Parlimen Lembah Pantai itu kepada pemberita.

 

Nurul Izzah ditanya kenapa PKR keberatan memberi persetujuan kepada sekutunya dalam Pakatan Harapan iaitu DAP dan Amanah untuk mengadakan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.

 

Isu pilihan raya negeri timbul apabila media tempatan melaporkan bahawa DAP menyenaraikan dua pilihan berikutan tuduhan rasuah yang dihadapi Lim.

 

Satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengetahui respons rakyat Pulau Pinang terhadap tuduhan yang dikenakan terhadap Lim, satu lagi ialah menunggu pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Ogos 2018. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.