Pengerusi PNB Yang Baharu Janji Laksanakan Tugas Dengan Jujur Dan Amanah

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang baharu, Tan Sri Abdul Wahid Omar berjanji untuk melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah selepas dilantik bermula 1 Ogos ini, menggantikan Tan Sri Ahmad Sarji yang telah berkhidmat sejak 1996.

 

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri ini dalam kenyataannya berkata, beliau sangat bersyukur diberikan penghormatan untuk menerajui PNB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

“Syukur Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera serta Lembaga Pengarah PNB di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya.

 

“Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk mengisi tempat yang sebelum ini disandang oleh YABhg Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang telah banyak berjasa kepada PNB. Terima kasih Tun atas segala jasa bakti kepada PNB dan pemegang-pemegang unit amanah saham Kumpulan PNB,”katanya.

 

Beliau berkata, pelantikan itu amat bermakna memandangkan beliau pernah berkhidmat dengan dua buah syarikat di bawah naungan PNB, iaitu Kumpulan Maybank (2008-2013) dan Kumpulan Amanah Capital yang kini menjadi sebahagian daripada Kumpulan MIDF (1994-2001).

 

“Saya berjanji akan menjalankan tugas sebaik kemampuan saya dengan jujur dan amanah. Terima kasih,”katanya.-SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.