Malaysia-Thailand Tingkat Kerjasama Tangani Penyeludupan Di Sempadan

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kerjasama dengan Unit Risikan Sempadan (URS) Thailand dalam usaha menangani aktiviti penyeludupan di sempadan kedua-dua negara.

 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata kerjasama itu penting bagi membolehkan kedua-dua pihak berkongsi maklumat, seterusnya mengambil tindakan lebih berkesan jika wujud sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan berkenaan.

 

Katanya, pembolosan tidak hanya berlaku di laluan tikus mahupun pos kawalan keselamatan, tetapi melalui pelbagai cara.

 

“Penyeludupan tidak hanya membabitkan senjata api, tetapi juga dadah, ketum dan lain-lain. Pelbagai cara mereka gunakan untuk menyeludup barangan itu…ada yang sorok barang di dalam lori sayur, dalam poket dan sebagainya.

 

“Sebab itulah penting untuk kita jalinkan kerjasama rapat dengan mereka (Thailand) supaya kita dapat kesan individu yang disyaki terbabit,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Persidangan ASEANAPOL di Hotel Marriot, di sini, semalam.

 

Sementara itu, Khalid enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kaedah untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan.

 

Beliau menjelaskan perkara itu sedang dibincangkan dan diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.