Mahu Lari Dari Maahad Tahfiz, Pelajar Cedera Dirotan

SUNGAI PETAN — Polis mengesahkan kejadian murid berusia 10 tahun cedera dirotan di sebuah maahad tahfiz di sini yang menjadi viral di laman sosial.

 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan tiga murid lelaki berusia 10 tahun yang dirotan seorang ustaz gantian di maahad terbabit.

 

“Punca kejadian dipercayai kerana ketiga-tiga pelajar berkenaan hendak melarikan diri dari asrama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Gambar seorang kanak-kanak dengan kesan rotan di badan dan kepala menjadi viral di laman sosial apabila dikatakan dipukul seperti penjenayah.

 

Beliau berkata siasatan itu dijalankan selepas anak kepada pengasas maahad tahfiz terbabit membuat laporan polis menafikan penglibatan maahad tahfiz tersebut dalam kes berkenaan setelah ia menjadi viral.

 

Katanya laporan polis dibuat lelaki berusia 46 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, pada pukul 11.50 pagi tadi.

 

Bagaimanapun, katanya pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut memandangkan polis masih belum menerima laporan daripada ketiga-tiga mangsa. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.