Bentang garis panduan, mudahkan rakyat pilih

SHAH ALAM – Penganalisis politik menyifatkan saranan Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar pembangkang membentangkan cadangan garis panduan berkaitan hiburan boleh digunapakai mereka dalam kempen pilihan raya.

 

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini peluang untuk memberitahu kepada rakyat terutamanya pengundi apa yang ditawarkan setiap parti itu sekiranya mereka memerintah negara.

 

“Saya rasa cadangan beliau itu berkaitan dengan akidah, prinsip, polisi setiap parti itu sebab kalau nak sebut peraturan, itu sudah ada. Beliau juga sebut bukan hiburan sahaja, semua perkara.

 

“Saya rasa ini cadangan yang baik. Saya sangat sokong. Biar rakyat tahu apa pendirian setiap parti itu dalam perkara-perkara disebut itu,” katanya kepada Sinar Online.

 

Sebelum ini, Mohd Asri menyarankan semua parti politik di negara ini membentangkan cadangan garis panduan berkaitan hiburan, pendidikan, kesihatan dan bidang lain di Parlimen yang bakal dikuatkuasakan jika mereka memerintah negara bagi memudahkan rakyat membuat penilaian.

 

Namun, Nik Ahmad Kamal melihat membentangkan garis panduan itu di Parlimen agak kurang sesuai kerana ia seolah-olah mahu mewujudkan perundangan.

 

“Mungkin itu (bentang di Parlimen) gerakan seterusnya setelah dibentangkan polisi setiap parti itu (kepada umum). Tapi saya rasa ia mesti dalam bentuk manifesto pilihan raya. Jadi, rakyat dapat menilailah parti A begini, parti B begini. Ia lebih jelas untuk mereka membuat pilihan.

 

“Jika mereka memerintah, mereka perlu laksanakanlah polisi yang mereka gariskan tadi,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam suasana masyarakat Malaysia yang pelbagai ini, setiap isu itu perlu dikendalikan dengan sensitif bagi mengelakkan ada yang terluka.

 

“Kita tak boleh kata ‘kita tak nak ini, tak nak itu’. Kita kenalah ‘give and take’. Terima apa yang sesuai dan tolak apa yang tidak sesuai.

 

“Maknanya setiap parti politik itu perlu ada pendirian mereka yang jelas tentang isu-isu ini,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.