Video: Gadis Berjalan, Main Piano Ketika Tidur

NEW ZEALAND – Sebuah video viral mengenai kelakuan seorang gadis yang tidur berjalan (sleepwalking) dan bermain piano di luar sedar menyebabkan beliau popular di laman You Tube.

 

Gadis tersebut, Isabelle, 13, baru sahaja memulakan pembelajaran piano beberapa bulan lepas.

 

Menurut NZ Herald, video tersebut dirakam oleh sepupu ibunya, James Hodgson.

 

“Ketika saya menyaksikan kejadian tersebut, saya tahu ianya hebat dan saya rasa orang lain akan merasakan ianya menarik,” kata Hodgson.

 

Video tersebut kini sudah ditonton oleh lebih 230,000 pelayar.

 

Sementara itu, Isabelle memberitahu bahawa beliau tidak sedar atau mempunyai sebarang memori tentang kejadian tersebut.

 

“Bila saya lihat rakaman itu, saya tergelak kerana saya akan berhenti (bermain piano) dan berdengkur, kemudian menyambung bermain piano kembali,” katanya yang juga mempunyai suara merdu dan berkebolehan menyanyi.

 

 

Ibunya, Rene Welby meletakkan kusyen sebagai bantal untuk Isabella apabila gadis tersebut bertindak tidur di hadapan piano selepas kejadian.

 

“Saya sedang berada di dalam bilik tidur ketika saya mendengar bunyi Isabelle bermain piano. Saya fikir, ini sangat gila,” kata Welby.

 

“Saya menemuinya sedang bermain piano, dan anak perempuan saya yang lain menyuruh supaya kejadian ini direkodkan,” kata Welby lagi.

 

Sebelum ini, ahli keluarga Isabelle pernah menemui gadis berkenaan tidur sambil berdiri tegak di dalam rumah.

 

Menurut doktor dari klinik Sleep Well, Dr Alex Bartle berkata, tidur berjalan mempunyai pelbagai variasi dan selalunya terjadi selepas dua hingga empat jam selepas memasuki fasa tidur.

 

“Anda mampu melakukan perkara kompleks ketika tidur, termasuklah memandu sebuah kereta.

 

“Manusia mempunya otot memori yang membenarkan ahli musik untuk memainkan lagu tanpa bantuan, ianya adalah di luar sedar,” jelas Bartle. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.