UMNO Bahagian Sungai Besar Batal Hasrat Jemput Muhyiddin Rasmi Mesyuarat

Kuala Lumpur – Umno Bahagian Sungai Besar membatalkan hasrat untuk menjemput Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk merasmikan mesyuarat bahagian yang dijadual pada hujung bulan depan.

 

Ketuanya, Datuk Jamal Hj Md Yunos ketika dihubungi SuaraTV berkata keputusan tersebut dibuat setelah pihak pengurusan UMNO Bahagian menilai situasi politik semasa pada masa ini.

 

“Keputusan untuk membatalkan jemputan terhadap Tan Sri Muhyiddin dibuat petang tadi oleh Jawatankuasa Pengurusan UMNO Bahagian Sungai Besar ekoran dari keadaan semasa politik yang sedang melanda ketika ini.

 

“Keputusan tersebut telah dipersetujui dengan sebulat suara tanpa ada sebarang bantahan daripada majoriti ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Naib Ketua Bahagian, ketua sayap pergerakkan dan sebagainya ” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

UMNO Sungai Besar merupakan bahagian yang kedua menolak kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk merasmikan mesyuarat.

 

Terdahulu UMNO Bahagian Raub memutuskan untuk membatalkan jemputan terhadap Muhyiddin. yang dijadual merasmikan mesyuarat tersebut pada 15 Ogos.

 

Menurut Jamal lagi jawatankuasa pengurusan UMNO bahagian khuatir insiden yang berlaku ketika Muhyiddin merasmikan mesyuarat bahagian Cheras berulang sekaligus mengeruhkan keadaan politik negara.

 

“Sebelum ini UMNO Bahagian Sungai Besar sangat gembira dengan persetujuan Tan Sri untuk hadir merasmikan mesyuarat bahagian yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos ini dan kami telah pun melakukan persediaan.

 

“Namun kami khuatir apa yang berlaku ketika Tan Sri merasmikan mesyuarat bahagian UMNO Cheras berulang” katanya lagi.

 

Muhyiddin dalam ucapannya semasa menggulung mesyuarat tahunan UMNO Bahagian Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad mengatakan beliau, sebagai Timbalan Perdana Menteri pun, sukar memahami isu 1MDB dan sedikit sebanyak tahu mengenainya daripada laporan akhbar terbitan The Edge.

 

Pejabat Perdana Menteri dalam reaksi kepada ucapan itu meminta Muhyiddin untuk tidak mengeruhkan persepsi dan menunggu hasil siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap hal-hal yang berkait dengan 1MDB.

 

Jamal ketika mengulas lanjut berkata, sebagai orang no 2 negara, Muhyiddin sengaja memilih untuk tidak faham berhubung isu 1MDB.

 

“Kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin itu bukan pertama kali berlaku, kerana beliau pernah membangkitkan perkara yang sama ketika kursus di Janda Baik dahulu.

 

” Maka kami berpendapat Tan Sri Muhyiddin seolah-olah tidak faham atau sengaja tidak faham dengan apa yang diucapkan dan dilontarkan berhubung isu 1MDB  sedangkan semua persoalan 1MDB yang dibangkitkan itu telahpun dijawab sebelum ini” katanya lagi.

One thought on “UMNO Bahagian Sungai Besar Batal Hasrat Jemput Muhyiddin Rasmi Mesyuarat

  • July 30, 2015 at 11:33 am
    Permalink

    Bila dah hilang kedudukan dan kuasa, nanti postman pun buat buat tak tau nak cari alamat. Kalau alamat tersilap koma dan titik pun surat tak sampai.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.