UMNO Bahagian Batal Hasrat Jemput Muhyiddin Dan Shafie Rasmi Mesyuarat

Kuala Lumpur -Beberapa bahagian UMNO dilaporkan membatalkan hasrat untuk menjemput Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presdien, Datuk Seri Shafie Afdal merasmikan mesyuarat yang sedang berlangsung ketika ini.

 

Menurut portal The Malaysian Insider, sumber dalaman parti berkata, keputusan tersebut dibuat kerana bimbang ucapan berapi Muhyiddin semasa perasmian Umno Bahagian Cheras berulang lagi, di mana kritikan pedas dilontar ke atas pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

 

“Kami bimbang dilihat akan berlawan arus selepas rombakan kabinet. Bagaimana jika ucapan berapi yang sama semasa Bahagian Umno Cheras? Itu kami bimbang,” kata sumber parti itu kepada portal tersebut.

 

Bekas timbalan perdana menteri itu dijadual merasmikan mesyuarat tersebut pada 15 Ogos ini atas jemputan yang dibuat Umno bahagian Raub itu.

 

Sementara itu, Umno Bahagian Batu Gajah dan Ipoh Barat juga kini membatalkan jemputan mereka kepada Shafie, yang juga naib presiden Umno, yang sepatutnya merasmikan mesyuarat itu hujung minggu ini.

 

Ibu pejabat Umno Bahagian Batu Gajah yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan keputusan tersebut dan jurucakapnya memberitahu ia dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa yang berlaku.

 

“Kami pun tidak tahu perkara ini berlaku, tapi untuk mengelak salah tafsir mana-mana pihak, kami batalkan,” kata sumber parti di Batu Gajah itu.

 

Sumber itu menafikan arahan dikeluarkan penyokong atau wakil Najib, selaku presiden parti, supaya mereka membatalkan jemputan tersebut.

 

“Tiada arahan mana-mana pihak. Keputusan kami buat selepas bermesyuarat dan mengambil kira pandangan semua jawatankuasa bahagian,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.