Tak Perlukan Suarakan Perbezaan Secara Terbuka – PM

Kuala Lumpur – Selepas selesai mengumumkan rombakan kabinet semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman Facebooknya menjelaskan tindakan yang diambil.

 

Kenyataan semalam sebagai memberi sebab mengapa keputusan menggantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

 

Najib antara lain menjelaskan langkah berkenaan diambil kerana ada anggota Kabinet mengeluarkan kenyataan terbuka sehingga menjejaskan persepsi masyarakat terhadap kerajaan.

 

“Ahli-ahli Kabinet tidak perlu menyuarakan perbezaan mereka dalam forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan dan Malaysia.

 

“Ia adalah bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama yang merupakan asas kepada Kabinet kerajaan,” katanya.

 

Melalui rombakan berkenaan, ada juga beberapa muka baru dilantik menjadi Menteri dan ada yang digugurkan serta ada yang dilantik menjadi Timbalan Menteri yang baru.

 

Ahad lepas, Muhyiddin dalam satu ucapan di Mesyuarat UMNO Bahagian Cheras yang berbicara banyak perkara berkaitan siasatan kes 1MDB di hadapan ahli UMNO dan juga wakil media.

 

Najib berkata pengguguran Muhyiddin itu merupakan sebahagian daripada proses membuat keputusan yang perlu dilaksanakan.

 

“Kabinet perlu bertindak sebagai satu pasukan yang kukuh. Saya mengalu-alukan perdebatan, menerima dan bertolak ansur dengan kritikan atau perbezaan pendapat.

 

“Keputusan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sangat sukar, tetapi kepimpinan adalah mengenai apa yang anda fikir betul.

 

“Untuk berkhidmat kepada Malaysia, saya mesti mempunyai satu pasukan yang kukuh dan bersatu bergerak ke arah yang sama,” katanya.

 

Selain itu Najib berkata beliau yakin barisan anggota Kabinet yang baharu berupaya meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

 

“Tidak ada yang lebih penting daripada keperluan Malaysia dan rakyat – saya akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

 

“Saya yakin dalam masa sama, Kabinet baru ini akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan dan Barisan Nasional menjelang PRU-14,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.