Siasatan 1MDB Perlu Diteruskan – Pemuda UMNO

Kuala Lumpur – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mahu kerajaan meneruskan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategi, 1MDB walaupun terdapat pertukaran jawatan ekoran rombakan Kabinet yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

 

Pemuda UMNO dalam satu kenyataan berkata Pasukan Petugas Khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu diberikan kebebasan menjalan siasatan tersebut.

 

“Pemuda UMNO juga berharap bahawa antara isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1MDB, perlu terus disiasat.

 

“Institusi-institusi tersebut perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan mahupun provokasi dari mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

 

Rombakan kabinet menyaksikan seorang anggota PAC dilantik sebagai menteri dan tiga lagi dilantik sebagai timbalan menteri termasuk pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

 

Mengulas lanjut rombakan tersebut, Pemuda UMNO akur dan menghormati kuasa mutlak Perdana Menteri untuk menentukan anggota pentadbiran kerajaan.

 

“Pemuda UMNO berharap dengan rombakan ini, kerajaan dapat diperkukuhkan lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa amanah yang dipikul tidak sesekali di kompromi dan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan.

 

“Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pemuda UMNO tetap menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO,” katanya.

 

Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO berharap rombakan jemaah menteri yang dilakukan oleh Najib itu tidak dijadikan pencetus oleh mana-mana pihak kepada perpecahan dalam parti.

 

“UMNO memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan bagi menghadapi cabaran pilihanraya umum kelak.

 

“Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang. Inilah masa untuk kita bersatu, menggembelengkan tenaga dan menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela rakyat masih subur dikalangan ahli,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.