Saya Bukan Pengkid – Ardell Aryana

Pendatang baru, Ardell Aryana berharap sesetengah pihak tidak terus melemparkan kritikan sekaligus melabelkannya seorang pengkid gara-gara memuat naik gambar di laman Instagram menunjukkan penampilannya yang hanya berbaju-T dan memakai topi.

 

Jelas pelakon filem CCTV ini, sejak dulu dirinya adalah seorang yang aktif dan lasak cuma selepas menceburi bidang lakonan, penampilannya semakin kelihatan feminin yang mana sedikit sebanyak dipengaruhi dengan lakonannya kerana sering menerima tawaran karakter gadis lemah lembut.

 

“Pernah satu masa saya ada muat naik gambar berbaju-T dan memakai topi terbalik. Kemudian ramai komen mendakwa saya seorang pengkid dan ramai yang kritik, membenci saya dan mereka ‘unfollow’ saya.

 

“Padahal sebenarnya jika di luar saya seorang yang aktif dan macam tomboi sikit. Kalau keluar rumah saya lebih selesa pakai baju-t, seluar track dan selipar dan saya suka aktiviti seperti sukan kereta.

 

“Cuma, sejak terjun ke bidang lakonan, saya lebih nampak feminin sebab saya selalu bawakan karakater gadis lemah lembut.

 

“Namun, sehingga kini saya ada satu masalah iaitu rasa segan dengan lelaki. Kalau berlakon dan ada babak bertentang mata dengan pelakon lelaki, itu yang paling sukar untuk saya lakukan,” katanya yang membina nama sebagai pelakon kira-kira tahun lalu.

 

Pemilik nama sebenar, Nurul Hidayah Mohd Amin, 26 ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem CCTV di Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan dia bersyukur kerana sepanjang membabitkan diri dalam dunia lakonan, kini semakin ramai yang boleh menerima bakat dan kehadirannya dalam industri.

 

“Saya beryukur dan gembira. Tak sangka saya ada peminat yang tidak jemu menyokong karier saya dan saya sangat menghargai mereka.

 

“Malah, jika ada acara yang melibatkan saya, ada juga peminat yang dari jauh seperti dari Johor Bahru sanggup datang ke Kuala Lumpur semata-mata mahu memberikan sokongan kepada saya.

 

“Saya sedar baru setahun jagung dalam bidang ini dan dengan adanya sokongan peminat, menambahkan lagi semangat untuk saya terus berkerja keras dan memberikan yang terbaik dalam setiap lakonan,” katanya yang mempunyai kelab peminat yang diberi nama ArdellTeam.

 

Menyedari dunia seorang anak seni penuh dengan dugaan dan cabaran yang di sangka apatahlagi jika semakin dikenali, justeru Ardell sedaya upaya menjauhi dirinya daripada terpalit dengan apa-apa isu mahupun kontroversi.

 

“Alhamdulillah, setakat ini belum ada apa-apa kontroversi yang mengaitkan saya. Maklumlah zaman sekarang dengan adanya media sosial macam-macam perkara cepat saja timbul tetapi saya sentiasa berhati-hati.

 

“Bagi saya, untuk hal peribadi saya tidaklah terlalu berahsia. Jika ada perkara yang saya rasa wajar dikongsikan di Instagram saya akan kongsikan dengan peminat.

 

“Misalnya, andai satu hari nanti saya ada kekasih, saya akan kongsi dengan peminat. Kalau saya sudah post di Instagram, itu beerti saya memang serius dengan hubungan cinta itu. Jadi tak salah rasanya untuk saya kongsikan pada umum dan tidak perlu sorok,” tuturnya.

 

Sementara itu, berkongsi pula mengenai pengalaman menjayakan filem CCTV, Ardell berasa bertuah kerana diberi kepercayaan memengang watak heroin dan berlakon di samping dua nama besar, Aeril Zafril dan Hasnol Rahmat.

 

“Sebenarnya, sewaktu ujibakat saya untuk watak pelakon pembantu tapi tak sangak pengarah dan penerbit filem ini tawarkan saya watak utama.

 

“Saya senang berlakon bersama Aeril dan abang Hasnol. Mereka banyak membantu dan memberi tunjuk ajar pada saya,’ ujarnya.

 

Mengenai cabaran sepanjang penggambaran, Ardell berkata, babak kebakaran paling mencabar kerana dia dan Hasnol memang betul-betul berada di dalam api kebakaran dan terpaksa menahan panas dan asap tebal selama beberapa minit.

 

“Paling mencabar babak kebakaran. Semasa penggambaran babak itu saya dan abang Hasnol memang betul-betul berada dalam api kebakaran tu. Kami terpaksa menahan panas dan asap sehingga terbatuk-batuk,” katanya.

 

Filem seram arahan Devan. R itu akan ditayangkan dipawagam mulai 30 Julai ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.