PM Keberatan Beritahu Pengguguran, Kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada dalam keadaan sukar untuk memaklumkan pengguguran dirinya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 

Menurut Muhyiddin, beliau dimaklumkan mengenai pengguguran namanya dari senarai jemaah kabinet pada jam 12.15 tengah hari semalam di pejabat Najib di Putrajaya.

 

“Saya baru diberitahu semalam, sebelum itu saya ke Negeri Sembilan bagi merasmikan (satu) majlis, saya tidak sedar itu adalah majlis terakhir saya sebagai TPM.

 

“Saya kena jumpa PM pada 11.30 pagi tetapi saya dapat pulang pada jam 12.15 tengahari.

 

“Dan pada ketika itu saya diberitahu (mengenai pengguguran jawatan). Saya tanya apa tujuan saya dijemput, adakah nama saya tidak tersenarai, dan beliau mengangguk dan saya ucapkan terima kasih,” katanya di dalam sidang media yang diadakan di kediaman beliau di Bukit Damansara hari ini.

 

Muhyiddin digugurkan dari jawatan nombor dua dalam negara melalui kuasa prerogatif Najib selaku Perdana Menteri.

 

Dalam sidang media yang sama, Muhyiddin menjelaskan bahawa dirinya akur dengan pengguguran tersebut dan mengulangi akan terus berkhidmat buat parti dan juga negara selaku Timbalan Presiden UMNO.

 

“Tanggungjawab saya sebagai Timbalan Presiden adalah untuk membantu Presiden dan ahli-ahli lain. Tanggungjawab saya untuk uruskan parti dan memastikan perjalanan parti lancar.

 

“Saya tidak harus memikirkan apa yang berlaku pada diri saya sebab itu akan ganggu tanggungjawab saya sebagai timbalan presiden. Masalah yang penting bukan saya, tapi parti. Bagi saya yang penting adalah parti dan masa depan negara,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lanjut.

 

Ini menjelaskan bahawa Muhyiddin akan terus bekerja buat UMNO seiring dengan Presiden UMNO, Najib, bagi memastikan parti orang Melayu itu terus kukuh buat negara.

 

Malah jelasnya, pihak beliau akan kekal berdiri dan mengelakkan dari terlibat dengan sebarang pertentangan pendapat sebagai usaha memelihara UMNO.

 

“Saya tidak sepatutnya terlibat dengan benda yang ada perbalahan sehingga menimbulkan krisis. Sebab saya tahu, kalau bergaduh kita akan kalah.

 

“Oleh sebab itu, kita akan kerja sebaik mungkin dengan semua pihak,” tambahnya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.