Pemecatan Muhyiddin Gamit Memori 1998 Di Bukit Damansara

KUALA LUMPUR – Peristiwa tahun 1998 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menggugurkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali berulang di Bukit Damansara semalam.

 

Rombakan Kabinet yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak nyata mengejutkan ramai pihak apabila memecat timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Susulan tindakan itu, kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri dipenuhi penyokong beliau yang mahu menyatakan solidariti terhadapnya.

 

Sebaik pengumuman Kabinet baru dibuat perdana menteri, bermula sekitar 3 petang kediaman Muhyiddin mula didatangi orang ramai.

 

Sehingga jam 8 malam kediaman beliau tidak putus-putus menerima kunjungan beberapa pemimpin tempatan dan luar.

 

Anak beliau, Najwa kelihatan setia menanti di hadapan pintu rumahnya bagi menyambut tetamu yang datang.

 

Sekitar jam 4.20 petang bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Desa, Datuk Seri Shafie Apdal kelihatan keluar dari kediaman itu.

 

Disusuli beberapa pemimpin lain, antaranya Ketua Umno Cheras, Datuk Syed Ali Al Habshee;  bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru,  Zulkifli Nordin; Ahli Dewan Negara, Datuk Seri S Nalakaruppan dan adik Menteri Besar Selangor, Umi Hafilda Ali.

 

Rata-rata yang mengunjungi Muhyiddin mengatakan Timbalan Presiden Umno itu tenang menerima berita pemecatan itu.

 

Menurut Umi Hafilda, Muhyiddin menganggap apa yang berlaku adalah qada dan qadar yang telah ditetapkan ALLAH.

 

“Beliau tenang, beliau orang beriman anggap apa yang berlaku ketentuan ALLAH. Beliau kata beliau sudah lakukan apa yang sepatutnya,” katanya.

 

Pada masa yang sama Umi Hafilda turut mengumumkan yang beliau keluar dari Umno.

 

Apa yang berlaku semalam, mengulang memori yang terjadi 16 tahun dahulu apabila kediaman Anwar di Bukit Damansara menjadi tumpuan orang ramai sehingga tercetusnya gerakan reformasi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.