PAS Panggil Semua ADUN Bincang Pendirian

IPOH – Semua Adun Pas Perak akan dipanggil dalam mesyuarat harian di peringkat negeri dalam masa terdekat bagi membincangkan masa depan dan pendirian mereka terhadap parti.

 

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan itu perlu dilakukan supaya pimpinan dan ahli parti dapat mengetahui status sebenar ke semua Adun berkenaan pada ketika ini.

 

“Kelima-lima Adun Pas Perak itu termasuk Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan dipanggil dalam mesyuarat harian itu.

 

“Kita perlu tahu pendirian mereka kerana mereka dipilih untuk bertanding pada PRU13 yang lalu atas tiket Pas dan bukan parti lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

 

Selain Mohammad Nizar, empat lagi wakil rakyat Pas yang memenangi kerusi Dun pada PRU13 adalah bekas Pesuruhjaya Pas negeri, Abu Bakar Hussain (Titi Serong); Radzi Zainon (Sungai Rapat); Husin Din (Selinsing) dan Mohd Zawawi Abu Hassan (Gunung Semanggol).

 

Razman berkata, rakyat mungkin terkeliru sekiranya ada dalam kalangan Adun itu gagal menjelaskan pendirian dan kesetiaan mereka terhadap Pas.

 

“Dan pada masa sama ianya akan membantutkan usaha parti untuk menjalankan kerja-kerja yang membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.

 

Mengulas mengenai ahli Pas Perak yang menyertai Harapan Baru, beliau berkata, sebarang tindakan atau hukuman bergantung kepada bidang kuasa Pas Pusat.

 

“Berkenaan sebarang hukuman atau apa jua tindakan, kita kena tunggu mesyuarat Pas Pusat pada 8 Ogos depan dan kita di peringkat negeri tiada bidang kuasa itu,” katanya.

 

Mengulas mengenai PKR, beliau memaklumkan akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Perak bagi mengetahui pendirian dan kerjasama politik antara kedua-dua pihak.

 

“Ia (pertemuan) penting dan membabitkan kerjasama dalam jangka masa panjang setelah PR terkubur,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.