Panel SPRM Tak Mahu Penyiasat 1MDB Diganggu

Panel bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan bebas, telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak yang menganggotai pasukan petugas khas.

 

Dalam kenyataan medianya hari ini panel tersebut berkata, pasukan dianggotai pegawai Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM mesti diberi ruang seluas-luasnya untuk menjalankan siasatan tanpa rasa gentar dan takut akibat campur tangan pihak berkepentingan.

 

“Dalam hal ini, kami dengan tegas menggesa agar integriti SPRM sebagai sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah bebas perlu dipertahankan dan tidak wajar dikompromi sama sekali.

 

“SPRM perlu dilihat sebagai sebuah suruhanjaya bebas merancang dan menjalankan semua tanggungjawab yang diamanahkan sebagaimana yang diharapkan rakyat,” kata kenyataan itu.

 

Lima panel terdiri daripada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Jawatankuasa Aduan dan Panel Perunding Pencegahan Rasuah sebulat suara mahu siasatan yang menyeluruh dan hasilnya diumumkan kepada khalayak ramai secepat yang mungkin.

 

Katanya lagi, ia bertujuan bagi mengurangkan jurang persepsi serta keyakinan yang kini kian melebar di kalangan rakyat Malaysia.

 

Sementara itu mereka berkata penting bagi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan hasil penemuan semua siasatan termasuk laporan Jabatan Audit Negara mengenai isu 1MDB kepada umum secepat yang mungkin.

 

“Ini bagi mengembalikan semula pandangan keseriusan dalam menyiasat isu IMDB sekian lama, terutamanya, memandangkan imej negara sudah tercemar dan juga keyakinan rakyat ke atas keberkesanan usaha SPRM sudah mula dipersoalkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!