Muhyiddin Tahu Digugurkan Kurang Sejam

Damansara – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak sukar menggugurkannya dari Kabinet.

 

Menurut bekas timbalan perdana menteri itu, Najib hanya memaklumkan kepadanya mengenai penggugurannya kurang sejam sebelum pengumuman dibuatnya secara langsung menerusi televisyen, semalam.

 

Katanya, beliau menyedari jawatannya akan dilucutkan ketika menghadiri satu majlis rasmi di Sendayang, Negeri Sembilan.

 

“Masa itu saya dah sedar ia adalah majlis terakhir saya selaku timbalan perdana menteri. Saya diminta hadir ke Pejabat Perdana Menteri pada pukul 11.30 pagi namun berkesempatan ke sana pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari.

 

“Saya tanya perdana menteri apa tujuan memanggil saya dan beliau susah nak cakap. Saya tanya adakah saya digugurkan, beliau hanya mengangguk dan saya ucap terima kasih,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara di sini, sebentar tadi.

 

Najib semalam mengumumkan rombakan Kabinet pertama sejak pentadbirannya pada tahun 2013 dengan menyaksikan seramai lima menteri digugurkan termasuk Muhyyiddin.

 

Jawatan TPM kini diambil alih Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut memegang portfolio di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.