Muhyiddin Akur Dipecat, Ikrar Setia Pada Parti

SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin akur pada keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggugurkannya daripada jawatan timbalan perdana menteri.

 

Muhyiddin berkata beliau amat memahami kuasa prerogatif yang ada pada Najib untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

 

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

 

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri,” ujarnya menerusi satu kenyataan media, petang ini.

 

Muhyiddin juga berikrar akan sentiasa setia kepada perjuangan Umno dan akan terus berkhidmat untuk rakyat.

 

“Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan Umno.

 

“Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno,” ujarnya.

 

Timbalan Presiden Umno itu bagaimanapun mengaku beliau mempunyai pandangan berbeza bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – yang dikatakan menjadi punca pengguguran beliau.

 

“Dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” katanya.

 

Najib semasa mengumumkan pengguguran Muhyiddin memberitahu beliau boleh menerima teguran mengenai apa-apa isu namun beliau terpaksa membuat keputusan selepas mengambil kira keadaan politik semasa dan kepentingan pentabiran.

 

“Namun, sebagai anggota Kabinet, perbezaan pendapat dan pandangan tidak sepatutnya dilakukan di forum terbuka yang boleh menjejaskan pandangan umum terhadap kerajaan serta negara.

 

“Ia juga bertentangan dengan konsep tanggungjawab bersama Kabinet,” ujar Najib.

 

Muhyiddin sebelum itu berkali-kali dilaporkan membuat teguran secara terbuka bersabit isu 1MDB sehingga meletakkan Najib dan Umno dalam keadaan sukar.

 

Walhal, Najib mengarahkan semua pihak agar tidak semberono mengeluarkan kenyataan bersabit isu itu berikutan ia kini dalam siasatan pihak berkuasa. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.