Mimi One Nation Emcee, Suami Tinggal Berasingan

KUALA LUMPUR – Anggota wanita kumpulan One Nation Emcee (ONE), Shamimi Amalina Norhisham, 28, mendedahkan dia dan suami Mohd Firdaus Hajar masih tinggal berasingan walaupun sudah bernikah 16 Mei lalu kerana terlalu sedih dan masih terkejut dengan pemergian bapanya dua bulan lalu.

 

Shamimi atau lebih dikenali dengan panggilan Mimi berkata, majlis pernikahannya itu dipercepatkan bagi memenuhi permintaan bapanya, Norhisham Nasir yang menghidap penyakit barah hati.

 

Bagaimanapun Mimi bersyukur bapanya sempat menikahkannya sebelum meninggal dunia 12 hari kemudian.

 

Akibat terlalu sedih dengan pemergian bapanya, Mimi meminta keizinan daripada suaminya untuk tinggal berasingan bagi menenangkan fikiran dan ingin menyelesaikan beberapa hal membabitkan keluarga.

 

Mimi berkata dia bersyukur suaminya, pensyarah di Universiti Tun Abd Razak (Unitar) itu menghormati permintaannya.

 

“Selain sibuk dengan urusan keluarga, saya juga kini sibuk dengan kerja di studio. Jadi saya minta kebenaran daripada suami agar dapat berikan saya sedikit masa untuk uruskan hal keluarga dan kerja.

 

“Tapi setiap hari kami akan berjumpa kerana suami menguruskan kerjaya saya. Cuma kami masih belum tinggal sebumbung.

 

“Insya-Allah kami sedang merancang ke arah itu malah suami juga kini sedang sibuk mencari rumah yang sesuai buat kami.

 

“Sejujurnya saya masih berat untuk meninggalkan keluarga tapi pada waktu sama saya harus fikirkan perasaan suami, apa pun saya akan berusaha membuang kesedihan itu dan cuba jalani hidup berumah tangga seperti pasangan lain,” katanya.

 

Mimi berkata, persiapan majlis persandingan yang dijadualkan pada 7 November juga masih belum difikirkan sehingga ada kalanya menyebabkan timbul pertengkaran antara dia dan suami.

 

Lokasi Majlis resepsi Mimi dan pasangannya yang berkonsep tradisional masih belum ditetapkan lagi.

 

Dia yang sudah mengenali suaminya sejak usia 14 tahun dan mengikat tali pertunangan tahun lalu yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum. – Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.