Mesyuarat MT UMNO Jumaat Ini, Dibatalkan

Kuala Lumpur – Susulan rombakan kabinet semalam, Setiausaha Agong UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memaklumkan mengenai pembatalan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dan juga Sambutan Hari Raya UMNO yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

 

Perkara itu dimaklumkan melalui satu pekeliling yang diedarkan kepada Ahli MT UMNO dan juga UMNO di peringkat bahagian yang mana program pada 31 Julai ini tidak akan berjalan seperti yang dirancangkan.

 

“Adalah dimaklumkan bahawa Majlis Taklimat Tertutup isu-isu semasa oleh YAB Presiden dan Majlis Sambutan Hari Raya yang dijadual akan diadakan pada 31 Julai 2015 bertempat di Dewan Tun Dr Ismail Aras 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) telah dibatalkan,” katanya Tengku Adnan memetik pekeliling tersebut yang bertarikh hari ini.

 

Pekeliling yang diedarkan kepada Ahli MT UMNO bertarikh yang sama turut memaklumkan berkenaan pembatalan mesyuarat Majlis Tertinggi yang memang pada kebiasaannya diadakan setiap hari Jumaat setiap minggu.

 

Sebelum ini, acara Sambutan Hari Raya dijadualkan berlangsung disamping turut menjadi medan untuk Presiden UMNO uang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan berkenaan isu-isu semasa kepada UMNO di peringkat bahagian.

 

Bagaimanapun, program berkenaan yang dipercayai akan menjadi tumpuan ahli-ahli UMNO dan juga pengamal media Jumaat ini, telah dibatalkan tanpa disertakan alasan kepada pembatalan tersebut.

 

Majlis pada Jumaat itu dijangkakan akan menjadi hangat setelah Najib melakukan rombakan kabinet pada Selasa dengan menggugurkan empat orang menteri di dalam senarai jemaah menteri kabinet sebelum ini.

 

Tan Sri Muhyiddin Yaasin adalah salah seorang daripada empat menteri yang digugurkan dari senarai menteri kabinet yang sebelum ini berfungsi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.