KPN Mahu Ambiga Nafi Terlibat Anjur Perhimpunan

Shah Alam – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam), Ambiga Sreenevasan menafikan penglibatannya dalam penganjuran himpunan di ibu negara yang tersebar di media sosial.

 

Beliau turut mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO), parti politik untuk tidak mengambil kesempatan dengan keadaan sekarang.

 

Menurutnya, terdapat risalah yang diedarkan di media sosial yang dipercayai mempunyai hubungan dengan Ambiga.

 

“Risalah tersebut mengajak orang ramai untuk menyertai himpunan di jalan raya supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan.

 

“Jika dia tidak mempunyai kaitan dengan risalah itu, dia perlu membuat penafian serta merta sebelum tindakan diambil,” katanya ketika di temui di Sambutan Hari Raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

 

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat berhubung risalah tersebut dan sekiranya benar, tindakan akan diambil.

 

Khalid turut mengulas mengenai khabar angin mengenai himpunan di Dataran Merdeka petang tadi dan pihaknya akan menyiasat siapa ‘penganjur’ himpunan dan individu yang menyebarkan mesej itu.

 

“Polis tidak akan memberikan ruang kepada mana-mana pihak yang cuba mengugat keselamatan negara.

 

“Mereka yang ingin mengadakan perhimpunan perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

 

“Polis tidak akan berkompromi dengan cubaan melanggar undang-undang,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau menerima perlantikan Ketua Peguam Negara yang baru, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan menganggap perlantikan itu tidak menjejaskn Pasukan Petugas Khas yang menyiasat 1MDB.

 

“Institusi itu sudah ada dan sistem berjalan seperti biasa.

 

“Kami perlu mengikut undang-undang dan tiada masalah dengan perlantikan ketua peguam yang baru,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.