Datuk Seri Didakwa Menipu RM700,000

KUALA LUMPUR –Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan sepasang bekas suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu dalam urusan mendapatkan anugerah Datuk Kerabat Diraja Kelantan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM700,000, sejak dua tahun lalu.

 

Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya, 60, dan Norzihan Zainal Abidin, 53, masing-masing berdepan lapan pertuduhan membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini manakala bekas suami Norzihan, Mohd. Azmi Ahmad Zahari, 51, yang didakwa atas satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini turut minta dibicarakan.

 

Saharuddin dan Norzihan didakwa bersama-sama memperdaya lapan individu untuk mempercayai bahawa mereka boleh mendapatkan anugerah yang membawa gelaran Datuk itu sedangkan anugerah itu tidak sah mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan sehingga mendorong individu-individu berkenaan menyerahkan wang antara RM60,000 dan RM115,000.

 

Wang berkenaan didakwa diserahkan oleh kesemua mangsa kepada kedua-dua tertuduh menerusi serahan tangan dan cek di sekitar ibu kota, Ampang dan Kepong, dekat sini antara Mac 2014 dan Januari lalu.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai mengemukakan kesemua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda.

 

Pihak pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM300,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan namun peguam Zamri Ibrahim yang mewakili Saharuddin memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya tidak bekerja namun aktif dalam khidmat masyarakat dan aktiviti kebajikan.

 

Peguam Fahmi Abdul Moin yang mewakili Norzihan pula memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan anak guamnya yang merupakan ibu tunggal hanya bekerja sendiri serta mempunyai tanggungan seorang bapa yang telah uzur.

 

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh itu masing-masing diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

 

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Ampang, Mohd. Azmi yang merupakan ahli perniagaan didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Badrul Hisham Ramli sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM60,000 kepadanya.

 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Bank HSBC, Jalan Memanda 5, Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, dekat sini pada pukul 11 pagi, 29 April 2013.

 

Pillai yang turut mengendalikan pendakwaan tersebut mencadangkan ikat jamin RM30,000 dan memohon kes terhadap Mohd. Azmi dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

 

Peguam Mohd. Faizal Abdul Rahman yang mewakili Mohd. Azmi tidak membantah permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes tersebut namun memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kerana anak guamnya perlu menjaga empat anak yang masih bersekolah.

 

Hakim Suraiya Mustafa Kamal kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke mahkamah sesyen di ibu negara dan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Ampang Jaya sebulan sekali sehingga kes selesai.

 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan polis Kelantan telah menahan empat individu termasuk seorang lelaki yang merupakan kerabat negeri terbabit berhubung sindiket penipuan gelaran Datuk dalam serbuan berasingan di Selangor dan Kelantan, semalam.

 

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Nazim berkata, sindiket penipuan yang mula aktif sejak tahun lalu itu menawarkan gelaran Datuk kepada ahli perniagaan dengan bayaran sebanyak RM60,000 hingga RM120,000 setiap seorang dan meyakinkan mangsa dengan menganjurkan majlis penganugerahan pingat kebesaran di sebuah hotel di Kelantan dan lokasi lain. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.