Umno Masih Kuat, Cuma Silap Pilih Tarikh PRU – Ahmad Maslan

- Advertisement -

CYBERJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengakui bahawa kekalahan besar parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah berpunca daripada kesilapan memilih tarikh pilihan raya, bukannya kerana Umno telah lemah.

“Umno bukan tidak kuat sebagaimana yang dikata, sebaliknya Umno silap pertaruhan dari segi memilih tarikh PRU pada 2022,” katanya.

Menurut beliau, ketika itu Umno masih menerajui kerajaan dan jawatan perdana menteri, namun keputusan memanggil pilihan raya lebih awal membawa padah.

“Pada ketika itu, kita masih berkuasa dan Umno yang menjadi perdana menteri, namun disebabkan kita silap memilih tarikh, kita kalah ke laut yang paling dalam.”

Ahmad menyatakan bahawa kekuatan sebenar Umno masih terbukti menerusi kemenangan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU15, termasuk di Nenggiri, Pelangai, Tioman, Ayer Kuning dan Mahkota.

“PRK (di) Nenggiri, Pelangai, Tioman, Ayer Kuning, Mahkota, semua kita menang dan itu menunjukkan kita masih kuat,” ujarnya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bachok, menurut laporan Harian Metro.

Ahmad turut mengingatkan ahli-ahli parti agar terus bersemangat dan giat melaksanakan aktiviti bersama rakyat, walaupun kecil, sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang.

“Antaranya perlu lakukan aktiviti bersama rakyat secara berterusan walaupun kecil… jentera semua peringkat termasuk veteran perlu berpadu dan bergabung selain perlu memastikan emosi pengundi terkawal.”

Tambahnya lagi, sekiranya beberapa elemen penting ini dijaga, Umno mampu mencipta momentum kemenangan pada PRU16 kelak.

“Jika kita jaga beberapa elemen ini, InsyaAllah momentum kita dalam keadaan terbaik dan akan memperoleh kemenangan pada PRU16 nanti.”

Ahmad juga tidak menolak kebangkitan semula Umno termasuk di negeri seperti Kelantan, yang selama ini dianggap kubu kuat pembangkang.

PRU15 diadakan pada November 2022 selepas Parlimen dibubarkan lebih awal oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 10 Oktober 2022 – sebelum tamat penggal pada Julai 2023.

Ismail Sabri bagaimanapun menafikan langkah itu dilakukan atas desakan Umno.

Keputusan PRU tersebut menyaksikan Parlimen tergantung, apabila tiada parti memperoleh majoriti mudah. Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mendapat 74 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi.

Ini membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan yang diketuai oleh PH dan disertai BN, parti-parti dari Malaysia Timur dan bebas, yang membentuk majoriti 153 kerusi di Dewan Rakyat.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat