Dulu Janji Hantar Balik Warga Asing, Kenapa Kini Nak Tambah Warga Afrika Pula?

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin hari bertambah pelik apabila membuat janji tidak sama dengan apa yang hendak dikotakan.

Dalam janji terbaharunya, Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan cadangannya untuk membawa masuk pekerja asing warga Afrika untuk memenuhi pelbagai sektor di negara ini.

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH bukan main lantang berjanji kepada rakyat, kononnya jika parti itu memerintah, mereka akan menghantar balik pekerja asing.

Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh 13 bulan memerintah, janji penghantaran balik tidak dilakukan, sebaliknya hendak menambah warga Afrika masuk bekerja di negara ini.

“Pelik betul PH ni. Janji sesuatu, lain yang dibuat. Sebelum PRU14, PH janji hantar balik pekerja asing.

“(Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq (Abdul Rahman) janji bawa balik semua warga Malaysia yang kerja di Singapura,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Di Cameron Highlands semalam, Kulasegaran dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Kata beliau, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.

Mengulas lanjut, Najib berkata, selepas PRU14 kerajaan PH pula hendak menghantar rakyat Malaysia menjadi buruh di Jepun.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga September tahun lalu, jumlah pekerja asing bekerja di negara ini secara sah adalah 1.73 juta orang, majoriti dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Pakistan dan China.

Jabatan Perangkaan pula menganggarkan jumlah warga asing yang tinggal secara sah di negara ini tahun lalu sekitar 3.3 juta orang dari keseluruhan 32 juta penduduk di Malaysia.

Nisbah hampir 10 peratus ini agak tinggi memandangkan nisbah penduduk Malaysia berketurunan India hanya sekitar lapan peratus berbanding jumlah keseluruhan penduduk.

Bagaimanapun, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Khidmat Imigran (SKI), berpendapat warga asing yang berstatus pendatang asing tanpa izin di negara ini melebihi jumlah pekerja asing yang memiliki dokumen dan permit sah.

Berdasarkan statistik NGO itu, pada 2014 lebih 6.7 juta pekerja asing, bekerja dalam pelbagai sektor terutama pembinaan dan peladangan dan daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta mempunyai permit, bermakna ketika itu ada lebih 4.6 juta warga asing bekerja secara tidak sah di Malaysia.

Pada 2017 pula, kira-kira 1.73 juta pekerja asing yang sah berbanding 2.1 juta orang empat tahun sebelumnya, namun jumlah pendatang asing tanpa izin yang masih ada di sini terus menjadi tanda tanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.