Serangan Siber Melanda Dunia, Ada kaitan ‘WannaCry’

Satu serangan siber besar-besaran semalam, menjejaskan komputer di syarikat minyak terbesar di Rusia, bank-bank di Ukraine dan firma multinasional dengan virus hampir serupa dengan virus ransomware yang bulan lalu menjangkiti lebih 300,000 komputer.

Ia kemudiannya dilaporkan merebak ke Eropah barat selain Amerika Syarikat.

Kempen memeras ugut di alam maya itu membuktikan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa sektor perniagaan gagal menjamin rangkaian mereka dari penggodam yang semakin agresif.

Ini menunjukkan bahawa penggodam mampu melumpukan infrastruktur kritikal dan menjejaskan rangkaian korporat dan kerajaan.

Menurut Reuters, serangan itu termasuk kod yang dikenali sebagai Eternal Blue, yang menurut pakar keselamatan siber dicuri dari Agensi Keselamatan Negara (NSA) Amerika Syarikat dan juga digunakan dalam serangan ransomware bulan lalu, yang dinamakan WannaCry.

“Serangan siber boleh menghancurkan kita,” kata Kevin Johnson, ketua eksekutif firma keselamatan siber Secure Ideas.

“Syarikat tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.”-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.