Selesaikan Dulu Masalah Sendiri Sebelum Fikir Himpunan

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) wajar menyelesaikan kemelut dalam gabungan itu berbanding sibuk merancang mengadakan himpunan.

Katanya, banyak yang perlu dilakukan oleh gabungan terbabit bagi mengatasi pertikaian dalaman mereka dan bukannya menghabiskan masa dan usaha menganjurkan satu lagi himpunan.

“Sebagai contoh, nampaknya tidak ada jawapan jelas mengenai siapa calon perdana menteri jika mereka menang dalam pilihan raya akan datang, belum lagi tentang kabinet bayangan.

“Daripada terus merungut tentang kerajaan yang ada, HARAPAN patut menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka menganggap gabungan itu adalah pilihan yang boleh diyakini.

“Dengan segala kekeliruan, percanggahan dan perbalahan, HARAPAN jauh sekali daripada menjadi kerajaan menunggu,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, Salleh berkata, rancangan HARAPAN mengadakan himpunan berkenaan – dijadual pada September ini – mungkin cara mereka mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah dihadapi.

Biar rakyat pilih

Salleh diminta mengulas cadangan pakatan pembangkang mengadakan himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi sebagai reaksi mereka kepada saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap aset yang didakwa diperoleh secara salah melalui dana 1MDB.

Rancangan mengadakan himpunan itu diumum Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di parlimen hari ini.

Anggota parlimen Permatang Pauh itu juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak 1MDB yang dianggotai wakil PKR, DAP, Parti Amanah Negara, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kata Salleh, beliau tidak yakin rancangan pembangkang mengadakan himpunan itu akan menarik banyak perhatian rakyat Malaysia yang kini lelah dengan politik, termasuk keadaan semasa pembangkang.

Justeru, kata bekas ketua menteri Sabah itu, rakyat wajar dibiarkan membuat pilihan masing-masing pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menegaskan apa saja yang disebutkan dalam saman DOJ itu adalah dakwaan dan aduan saja.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.