Rakan Trump Kena Sekatan Ke Luar Negara

Jakarta – Seorang bilionaire dan ahli politik Indonesia, Hary Tanoesoedibjo dikenakan sekatan perjalanan oleh pihak berkuasa berhubung siasatan dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan kepada seorang pendakwa raya.

Hary juga rakan perniagaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan syarikatnya membina sebuah hotel milik pemimpin itu di Indonesia, lapor Metro.

Jurucakap imigresen, Agung Sampurno semalam berkata, Hary dihalang ke luar negara selama 20 hari seperti yang dimohon unit siasatan jenayah polis Indonesia.

“Bilionair ini disiasat kerana melanggar undang-undang elektronik dan maklumat,” katanya.

Pemilik MNC Group yang menguasai perniagaan dari hartanah dan media itu dinamakan suspek kerana menghantar ugutan kepada pendakwa raya yang menyiasat sebuah syarikat telekomunikasi yang pernah dimiliki firma berkenaan.

Peguam Hary sebelum ini menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa mesej yang dihantar itu bersifat umum.

Hary pernah bertanding sebagai naib presiden pada 2014 dan menubuhkan partinya sendiri pada 2015. Dia juga merancang untuk bertanding sebagai presiden dalam pilihan raya pada 2019.

Ahli perniagaan itu memuji kemenangan Trump dalam pilihan raya presiden AS dan menghadiri majlis angkat sumpah pemimpin itu di Washington pada Januari lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.