Permohonan Visa Perlu Sertakan Bukti Kekeluargaan

WASHINGTON – Semua permohonan visa oleh rakyat dari enam negara majoriti Islam dan pelarian perlu disertakan dengan bukti hubungan kekeluargaan atau perniagaan dengan Amerika Syarikat.

Menurut Reuters, syarat baharu permohonan visa oleh pentadbiran Trump itu dilaporkan lewat semalam.

Garis panduan baharu itu dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Agung yang meluluskan sebahagian daripada arahan eksekutif yang dikeluarkan Presiden Donald Trump, lapor BH.

Menurut AP yang memetik sumber Jabatan Negara, semua pemohon perlu membuktikan mengenai status hubungan dengan ibu bapa, pasangan, kanak-kanak, anak lelaki atau perempuan yang sudah dewasa, menantu lelaki, menantu perempuan atau saudara-mara yang berada di Amerika Syarikat.

Laporan itu menyebut, datuk dan nenek, cucu, ibu saudara, bapa saudara, anak saudara perempuan, anak saudara lelaki, sepupu, abang ipar dan kakak ipar, tunang dan lain-lain ahli keluarga, tidak dianggap mempunyai hubungan yang rapat.

Sebelum ini, timbul kekeliruan berhubung keputusan Mahkamah Agung yang membenarkan sebahagian arahan eksekutif Trump itu dikuatkuasakan.

Dalam keputusannya, mahkamah memberi pengecualian kepada pelancong dan pelarian yang mempunyai ‘hubungan bona fide’ dengan mana-mana individu atau entiti di Amerika Syarikat.

Namun, sehingga semalam, jabatan persekutuan dan agensi berkaitan gagal mengeluarkan garis panduan rasmi kepada kakitangan mereka dan orang ramai, terutama mengenai kelayakan ‘bona fide’ yang diperlukan oleh pemohon.

Kelewatan pengumuman garis panduan baharu itu menimbul kebimbangan rakyat dari Syria, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman yang dilarang masuk ke Amerika Syarikat sejak awal tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.