Penumpang Campak Syiling ‘Good Luck’ Ke Dalam Enjin Pesawat

Aduhai nenek, enjin kapal terbang bukannya kolam pembawa tuah nak campak duit syiling dan mohon hajat. Sudahnya, penerbangan dari Beijing ke Guangzhou terpaksa ditunda berjam-jam lamanya bagi mengeluarkan kesemua duit yang dicampakkan ke dalam enjin berkenaan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, penerbangan China Southern Airlines Flight 380 yang sepatutnya berlepas sekitar jam 1 tengah hari terpaksa ditunda sehingga 5.52 petang setelah pasukan penyelenggaraan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap enjin pesawat.

Lapor SCMP, insiden bermula apabila salah seorang penumpang melihat seorang wanita berusia lingkungan 80-an ketika menaiki tangga untuk memasuki kabin pesawat telah mencampakkan sejumlah duit syiling ke arah enjin pesawat.

Menurut saksi berkenaan, wanita tersebut ditemani oleh suami, anak dan menantunya sewaktu sama-sama menaiki tangga untuk memasuki ke dalam kabin.

Bimbang akan keselamatan, saksi kemudiannya melaporkan kepada kru kabin yang kemudiannya mengadukannya kepada juruterbang.

Juruterbang kemudiannya memutuskan untuk menangguhkan penerbangan dan syarikat menghantar pasukan penyelenggaraan bagi memeriksa bahagian enjin berkenaan.

Hasil pemeriksaan, pasukan penyelenggaraan menemui 9 keping duit syiling di luar dan didalam enjin pesawat.

China antara negara paling banyak menghadapi masalah dengan penumpang kapal terbang sepertimana seorang penumpang sebelum ini pernah membuka pintu kecemasan ketika pesawat masih terbang ribuan kaki diudara.

Alasan diberikan penumpang berkenaan diatas tindakan itu hanya kerana ‘mahukan udara segar’.

Sebagai langkah keselamatan, China kini mengeluarkan senarai hitam bagi melarang pesalah laku untuk merantau menaiki pesawat. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.