Pemberian Duit Raya Tak Bertentangan Dengan Islam

Satu perkara yang pasti menggembirakan golongan kanak-kanak ialah duit raya. Pemberian duit raya sebenarnya telah berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu sejak berkurun lamanya.

Ia bertujuan untuk menggembirakan kanak-kanak yang berkunjung ke rumah sanak saudara mahupun jiran tetangga terutamanya pada awal sambutan Aidilfitri.

Namun, isu pemberian duit raya kerap kali dibangkitkan oleh pelbagai pihak yang menganggap ia hanyalah satu tradisi dan ikutan, sedangkan ia bukanlah perbuatan yang digariskan oleh Islam dalam menyambut ketibaan Aidilfitri, seperti memetik Kosmo.

Mengulas mengenai perkara itu, penceramah bebas, Ustaz Umar Muhammad Noor berkata, pemberian duit raya seperti yang diamalkan oleh masyarakat Melayu sejak dahulu hingga kini bukanlah perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah, pemberian duit raya itu boleh disamakan dengan sedekah selagi mana orang yang memberi mempunyai niat yang ikhlas untuk membantu golongan yang menerimanya.

“Di dalam Islam, amalan sedekah itu sangat dituntut kerana ia dapat meringankan dan membantu orang yang memerlukan bantuan.

“Oleh sebab itulah wujud konsep zakat kerana ia bertujuan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Pada bulan Ramadan pula, kita wajib mengeluarkan zakat fitrah kerana wang itu akan digunakan untuk membantu pihak lain yang berada dalam kesusahan untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana gembira,” katanya.

Namun Umar menjelaskan, walaupun pemberian duit raya itu boleh dianggap sebagai satu amalan yang mulia, Islam melarang umatnya berbelanja melebihi kemampuan diri sendiri sehingga tergolong dalam kalangan orang yang takalluf (memberatkan).

“Islam sangat melarang umatnya takalluf iaitu melakukan sesuatu perkara di luar kemampuan diri dan perbuatan itu dianggap berdosa.

“Oleh itu, dalam konteks pemberian duit raya, berilah sekadar yang termampu dan jangan memaksa diri untuk mengeluarkan sejumlah peruntukan semata-mata mahu melaksanakan tradisi sedangkan ia di luar kemampuan diri.

“Jangan malu jika kita tidak mampu kerana pemberian itu tidak semestinya dalam bentuk duit raya. Kita masih boleh menggembirakan tetamu terutamanya kanak-kanak dengan pemberian lain seperti makanan, gula-gula dan minuman,” katanya.

Ganjaran

Tambahnya, sebarang bentuk pemberian yang dilakukan dengan penuh keikhlasan walaupun kecil, ia pasti akan diberi ganjaran di sisi Allah.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad pula berpendapat, walaupun pemberian duit raya itu merupakan satu amalan yang mulia dan dianggap sebagai satu sedekah, ia boleh menimbulkan tekanan terutamanya kepada mereka yang tidak berkemampuan jika dilihat daripada sudut yang lain.

“Boleh dikatakan amalan pemberian duit raya ini sudah menjadi satu kemestian terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu.

“Namun, dalam keadaan dunia yang semakin berubah, nilai pemberian duit raya sudah tidak sama seperti 20 atau 30 tahun dahulu.

“Perkara itulah kadangkala boleh memberi tekanan kepada sesetengah pihak kerana terpaksa menyediakan sejumlah peruntukan untuk tujuan itu walaupun ia di luar kemampuan mereka,” katanya.

Fauziah berkata, anggota masyarakat perlu membetulkan pemikiran mereka dan tidak menjadikan isu pemberian duit raya sebagai satu tekanan terutamanya dalam persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya diraikan dengan perasaan gembira.

Katanya, mereka juga harus membuang sikap malu dalam diri sekiranya tidak mampu menyediakan duit raya terutamanya untuk diberikan kepada kanak-kanak kerana masih boleh menggembirakan tetamu dalam bentuk pemberian yang lain.

“Jika tidak mampu sediakan duit raya, jangan malu dan sentiasalah berfikiran positif. Masih banyak cara lain yang boleh kita lakukan untuk menggembirakan tetamu yang bertandang ke rumah.

“Apa yang penting ialah niat kita mesti betul dan berilah dengan seikhlas yang mungkin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.