Nur Helena Ubah Hidup Hael

KUALA LUMPUR: Naluri memikul tugas bapa biarpun masih solo, mendorong penyanyi Hael mengasuh seorang bayi perempuan sejak bulan lalu.

Menceritakan perkara itu, Hael berkata, bayi perempuan diberi nama Nur Helena berusia tiga bulan itu diperoleh daripada sebuah keluarga.

“Saya menjaga Nur Helena sejak dia dilahirkan. Saya terima kehadirannya sebagai rezeki. Saya akan menjaganya sebaik mungkin.

“Ketika ini, saya masih dalam proses menguruskan dokumentasi berhubung pengambilan bayi ini,” katanya kepada BH Online.

Akui Hael, hidupnya berubah sepenuhnya sejak mengasuh Nur Helena.

“Saya perlu membahagikan masa antara menjaga bayi ini dan komitmen tugas. Tapi kalau saya keluar bekerja, keluarga membantu menjaganya,” katanya.

Pengakuan Hael yang popular dengan lagu Jampi itu menjawab tanda tanya peminat yang melihat penyanyi itu memuat naik gambar dan video memaparkan seorang bayi di laman Instagram, baru-baru ini.

Sementara itu, Hael atau nama penuhnya, Hal Husaini Razmi dilihat mula berjinak-jinak menjadi komposer. “Insya-Allah, banyak lagi perancangan saya untuk masa depan.

Namun, saya enggan tergesa-gesa mencari material bagi memastikan hasilnya berkualiti. “Ketika sibuk mencipta lagu untuk artis lain, saya sedang dalam proses menghasilkan single seterusnya.

Cuma, biarlah ketika ini ruang diberi kepada Jampi dan kemudian barulah saya tampil dengan single kedua,” katanya.

Hael pernah mencipta lagu untuk beberapa penyanyi seperti Dayang Nurfaizah, Amira Othman, Nabila AF, Indah Ruhaila dan Dafi.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.