Najib: Usaha Perangi Pemerdagangan Manusia Berhasil

Usaha Malaysia untuk memerangi pemerdagangan manusia membuahkan hasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas keputusan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengeluarkan negara ini daripada senarai ‘Pengawasan Tahap 2′.

“Tahniah kepada mereka yang bersama-sama bekerja dengan gigih! Kita tetap komited untuk melindungi mangsa, mengheret penyeludup ke mahkamah dan membanteras aktiviti pemerdagangan manusia,” tulisnya dalam tweet hari ini.

Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) terbaru yang dikeluarkan Amerika Syarikat hari ini memasukkan Malaysia ke kategori ‘Tahap 2′.

Perbezaan kedua-dua senarai itu adalah negara dalam senarai ‘Tahap 2′ adalah yang belum memenuhi standard minimum ke arah membanteras pemerdagangan manusia sepenuhnya tetapi berusaha gigih berbuat demikian.

“Kerajaan (Malaysia) menunjukkan peningkatan usaha berbanding tempoh laporan sebelumnya, oleh itu, Malaysia dinaikkan taraf kepada ‘Tahap 2′.

“Kerajaan mempamerkan peningkatan usaha dengan memperluaskan siasatan pemerdaganan manusia, pendakwaan dan sabitan kesalahan,” kata laporan TIP.

TIP adalah alat diplomatik yang digunakan oleh AS untuk melibatkan diri dengan pemerintah lain mengenai kaedah menangani pemerdagangan manusia. Laporan itu diterbitkan setiap tahun.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.