Misbun, Chong Wei Berganding Lahir Pemain Pelapis

SHAH ALAM – Ketua jurulatih perseorangan badminton kebangsaan, Datuk Misbun Sidek akan bergandingan dengan Datuk Lee Chong Wei bagi melahirkan pemain pelapis terbaik negara kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Beliau berkata, perancangan itu akan memudahkan lagi tugas Misbun selain tidak memerlukan masa lama mengenal pasti pemain pelapis terbaik yang akan diketengahkan.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada mereka berdua untuk menghasilkan satu perancangan jangka panjang dan sederhana bagi menghasilkan pelapis pemain perseorangan terbaik terutama selepas Chong Wei bersara.

“Chong Wei rapat dengan Misbun dan dia memainkan peranan yang penting dalam hal ini bermula daripada proses memujuk Misbun BAM.

“Chong Wei pemain paling lama berada di sini. Jadi dia akan menyampaikan maklumat dalaman mengenai pemain pelapis kepada Misbun bagi memudahkan proses selain tidak memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri,” katanya, lapor BH.

Mohamad Norza berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, beliau bersikap terbuka jika Misbun berhasrat untuk menemani Chong Wei ke Kejohanan Dunia di Glasgow nanti.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dibincangkan dengan jurulatih lain termasuk Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob bagi membuat pembahagian tugas.

“Bagi Sukan SEA kita sudah siapkan kad akreditasi Misbun, cuma untuk kejohanan di Glasgow dia perlu berbincang dengan jurulatih yang lain. Apa pun, saya harap perkara itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.