Mesin ATM Pertama Dunia Bersalut Emas

LONDON – Sebuah bank di sini, menyaluti mesin juruwang automatik (ATM) pertama di dunia dengan emas sempena sambutan ulang tahun ke-50 perkhidmatan itu.

Menurut AFP, perkhidmatan ATM pertama dilancarkan oleh Barclays di cawangannya di Enfield di utara London pada 27 Jun 1967.

“Penciptaan ATM adalah satu peristiwa bersejarah yang mengubah cara manusia di dunia berfikir dan menggunakan wang tunai,” kata Barclays, seperti memetik BH.

Idea untuk mencipta mesin wang tunai diilhamkan oleh John Shepherd-Barron, yang diarahkan oleh pihak bank untuk menghasilkan enam alat untuk mengeluarkan wang tunai.

Penciptaan ATM itu adalah berdasarkan mesin layan diri.

Kemudahan itu membolehkan pelanggan mengeluarkan wang simpanan mereka di luar waktu operasi bank.

Individu pertama yang menggunakan ATM itu adalah pelakon komedi Britain, Reg Varney, yang popular dengan rancangan ‘On The Buses’, bagi menunjukkan betapa mudahnya untuk menggunakan perkhidmatan itu.

Dalam pada itu, selain disaluti emas, permaidani merah turut dipasang pada mesin ATM di Enfield itu.

Sekeping gambar hitam putih Varney ketika menggunakan mesin itu buat kali pertamanya, turut dipasang di atasnya, selain plak emas peringatan ditampal pada dinding bank.

Sehingga kini, dianggarkan ada lebih tiga juta mesin ATM di seluruh dunia.

Perkhidmatan mesin ATM turut disediakan di pangkalan penyelidikan Stesen McMurdo di Antartika, manakala yang tertinggi terletak di Genting Khunjerab Pakistan berhampiran sempadan China, iaitu setinggi 4,693 meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.