Kedudukan Pembaca ‘Touch n Go’ Perlu Diubah Untuk Operasi Tol Lebih Lancar

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan melaksanakan sistem kutipan tol elektronik (ETC) di setiap plaza tol di lebuh raya sememangnya harus dipuji kerana dapat mengu­rangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak.

Bagaimanapun, penggunaan ETC itu tidak menunjukkan kejayaan seratus peratus ekoran daripada alat pembaca ‘Touch n Go’ yang kadang-kadang tidak berfungsi dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa plaza tol di lebuh raya sekitar Lembah Klang mendapati pengguna terpaksa menyentuh dua atau tiga kali pada alat tersebut sebelum dapat meneruskan perjalanan.

Kekangan itu menyebabkan barisan panjang kereta walhal situasi tersebut dapat dielakkan jika ia berfungsi dengan baik.

Berdasarkan pemerhatian, pengguna juga sering mengalami masalah apabila jarak ken­deraan dengan alat pembaca itu jauh.

Ada kalanya, sesetengah pemandu bertubuh kecil terpaksa mengundurkan kenderaan serta mencari jarak yang sesuai atau membuka pintu kereta untuk menyentuh kad Touch n Go.

Masalah sedemikian timbul apabila alat pembaca berada agak jauh ke belakang dan menyukarkan orang ramai untuk menggunakannya.

Pemandu risau kereta mereka akan bergesel dengan palang yang berada di tepi sekiranya memandu secara dekat ke bahagian sisi lorong berkenaan.

Oleh itu, elok sekiranya kedudukan pembaca ‘Touch n Go’ diubah mengikut kesuaian agar operasi tol secara ETC lebih lancar dan menepati sasaran ditetapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.