Awal, Scha, Lara Melaram Baju Jakel

SELEPAS berkolaborasi bersama Jakel untuk baju Melayu, baju kurung dan baju kurung kanak-kanak atas jenama Schawalara X Jakel tahun lalu, rezeki keluarga selebriti ini kekal berterusan.

Awal Ashaari, Scha Al-Yahya, dan anak comel mereka, Lara Alana, 3, akan bersama Jakel untuk tahun kedua.

Awal juga mengakui teruja kerana dapat berkongsi minat menghasilkan baju raya berkualiti bersama peminat dengan harga yang berpatutan.

 

Tambah Scha pula, kolaborasi pertama memberi pengalaman untuk penghasilan rekaan kali ini.

“Dulu kami tak berapa arif sangat. Tapi kali ini, kami banyak sumbangkan idea, dari segi rekaan, warna, mengikut apa yang orang mahu.

“Bahkan macam baju perempuan, kami memilih kain daripada digital print dan ia nampak lebih moden. Manakala untuk lelaki pula, tidak terhad kepada baju Melayu, kini kita ada kurta yang sesuai juga digayakan ke mana sahaja,” jelasnya.

“Kanak-kanak perempuan, bila mereka lihat mak dan ayah mereka bergaya, mereka pun nak juga, jadi baju untuk kanak-kanak perempuan itu detailing dari segi design dan labuci tidak jauh dengan design wanita dewasa, cuma tidaklah keterlaluan,” ujarnya.
Diusik adakah mereka akan mengayakan baju Jakel sepanjang Syawal ini, Scha berkata, tidak ada sebab untuk mereka tidak memakai baju dari Jakel kerana kesemua rekaan juga direka untuk mereka.

“Macam saya, saya pakai satu set baju raya hanya untuk tiga hari raya sahaja. Tapi kalau selepas ini memerlukan kami memakai dress ke, kain masih boleh didapati di Jakel.

“Awal pula, kalau boleh sampai 30 Syawal masih mahu berbaju Melayu lengkap bersampin,” selorohnya.

Rindu balik kampung

Berkongsi aktiviti Syawal, Scha berkata, lebaran mereka berubah sejak Lara hadir dalam hidup mereka.

“Kalau dahulu, kami akan ziarah ke rumah saudara dan rakan taulan dari pagi hingga ke petang pun tak apa tapi Lara perlu rehat dan tidur waktu siang,” katanya yang sangat mengambil berat kesihatan Lara.

Jelas Awal, dia dan Scha tidak pernah bergaduh untuk pulang berhari raya kerana keluarga mereka tinggal di Kuala Lumpur.

Tambahnya, rumah keluarganya di Kampung Baru dan hanya dipisahkan dengan Penchala Link untuk pulang ke rumah keluarga Scha selepas itu.

Namun bagi Scha pula, jauh di sudut hati, dia rindu untuk pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah dan bawa Lara bersama namun kebanyakan ahli keluarga sudah berpindah ke ibu kota.

Manjakan anak?

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan peminat yang mengatakan mereka terlalu memanjakan Lara dengan kemewahan, Awal menafikannya.

Jelas Awal, Lara sebenarnya dimanjakan oleh peminat dan pengikutnya.

Kata Awal, Lara membawa rezeki besar dalam kehidupan mereka dan Scha juga tidak mahu anak mereka dimewahkan dengan barangan berjenama.

“Tapi setiap minggu, ada sahaja hadiah yang diterima oleh Lara, sampaikan ada antaranya yang bernilai ribuan ringgit. Setiap kali keluar pun orang bagi hadiah dan makanan,” katanya.

Selain itu, tambah Awal lagi, walaupun bergelar anak selebriti dan secara tak langsung menjadi public figure, dia tetap mahu Lara membesar secara normal dan tidak mendapat keistimewaan tertentu.

“Layanan mesti sama rata sama ada di sekolah atau di mana-mana. Tak ada istilah terlalu manjakan dia kerana kami juga terapkan disiplin dalam kehidupan seharian dia,” akhirinya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.