Walau Tiada Kesan Sistemik Kepada Malaysia, Krisis Kewangan Greece Tetap Dipantau

PUTRAJAYA – Krisis kewangan di Greece tidak akan memberi sebarang kesan sistemik kepada ekonomi Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Bagaimanapun, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan memantau perkembangan di Greece dalam tempoh sehari dua ini.

 

“Kita akan melihat kesan global, tetapi saya mahu melihat perkembangan dalam tempoh sehari dua ini.

 

“Faktor utama Greece, sama ada ia kekal sebahagian daripada zon Eropah atau mereka akan menarik diri daripadanya. Kita (Malaysia) perlu melihat perkembangan ini.

 

“Kita juga perlu memantau dan melihat sentimen global dan bagaimana ia memberi kesan,” katanya mengulas sama ada keruntuhan kewangan Greece akan memberi kesan kepada Malaysia.

 

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Nasional, hari ini.

 

Greece bertindak menutup operasi banknya dan melaksanakan kawalan modal, bagi mengelakkan kegawatan kewangan, selepas rundingan dengan pemiutang antarabangsanya gagal.

 

Negara itu perlu membayar hutang berjumlah 1.6 bilion euro kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam tempoh 48 jam dan jika gagal berbuat demikian akan menyebabkan Greece terkeluar daripada zon Euro. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.