Tony Pua Patut Undur Daripada PAC

PETALING JAYA – Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Tony Pua sepatutnya menarik diri daripada menganggotai jawatankuasa itu kerana sikap berat sebelahnya terhadap siasatan isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang membuat gesaan itu berkata kerajaan kini dalam proses mencari kebenaran untuk menyelesaikan masalah 1MDB tetapi ahli politik DAP itu sering mengeluarkan kenyataan menghakimi sewaktu proses siasatan oleh PAC masih berjalan.

 

“Dia patut keluar daripada PAC. Dia akan malukan bukan saja PAC, tetapi juga sistem Parlimen itu sendiri.

 

“Dia patut bertanggungjawab,” katanya kepada wartawan pada satu majlis di sini, hari ini.

 

Ahmad Shabery juga menyifatkan tindakan Pua yang juga Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara yang cenderung mengkritik 1MDB sebagai merendahkan martabat dirinya.

 

“Jadi orang itu (Pua) sudah tentu tidak layak untuk berada di dalam PAC. Dia buat kenyataan berat sebelah, dia sepatutnya malu, parti dia sepatutnya rasa malu, orang yang menyokong dan yang berkaitan dengannya juga sepatutnya berasa malu,” katanya.

 

Sebelum ini, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyarankan supaya Pua berundur diri daripada PAC bagi membolehkan siasatan ke atas 1MDB dijalankan dengan telus dan adil.

 

Bagaimanapun, kenyataan itu disifatkan Pua sebagai usaha untuk menyekatnya daripada bersuara. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.