Selesai Segera Isu Air Selangor Atau Berundur Dari Jawatan MB, Kata Khalid Ibrahim

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini sekali lagi ‘menjentik’ Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berhubung isu penstrukturan air yang masih belum selesai.

 

Menurut Abdul Khalid, beliau yakin rakyat Selangor kecewa dengan sikap kerajaan negeri serta Azmin sendiri yang dilihat seakan melengah-lengahkan proses pengambilalihan empat syarikat konsesi air.

 

“Saya yakin ramai rakyat di Lembah Kelang secara amnya dan Selangor khususnya kecewa dengan sikap Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar yang jelas tiada kewibawaan mahupun komitmen untuk menyelesaikan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri.

 

“Sejak hari pertama mengepalai pentadbiran negeri pada hujung bulan September 2014 hinggalah ke hari ini, Menteri Besar bukan sahaja kelihatan sengaja melengah-lengahkan proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air, malah gagal menggariskan satu pelan tindakan terperinci, lengkap dengan langkah-langkah konkrit untuk menyelesaikan semua isu berkaitan perkhidmatan air.

 

“Sebaliknya, apa yang beliau mampu lakukan hanyalah melemparkan pelbagai kenyataan mengelirukan, dolak-dalik retorik, dakwaan tempang dan tuduhan tidak berasas terhadap pihak-pihak berkepentingan yang lain terutama Kerajaan Persekutuan.

 

“Sama ada beliau memang tiada kompetensi atau sebenarnya ada udang di sebalik batu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Abdul Khalid yang juga Adun Pelabuhan Klang sempat memberi ‘amaran’ sekali lagi kepada Azmin supaya Timbalan Presiden PKR itu segera meletak jawatan jika tidak berupaya menyelesaikan isu penstrukturan air.

 

“Setelah berulang kali saya menegaskan tiada kompromi dalam proses memuktamadkan penstrukturan semula industri Selangor demi kemaslahatan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dijangka bakal mengalami masalah bekalan air kritikal sekiranya Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) gagal disiapkan menjelang 2017.

 

“Saya yakin Kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak menguatkuasakan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 khususnya Seksyen 114 sekiranya usaha ini menemui jalan buntu.

 

“Sekiranya Menteri Besar sendiri sedar akan had keupayaan peribadi dan mana-mana kekangan lain untuk memuktamadkan segera penyusunan semula industri air Selangor pada kos keseluruhan tidak melebihi RM9.65 billion, maka saya ulang gesaan yang pernah saya utarakan di dalam DUN Selangor sebelum ini.

 

“Keikhlasan mendahulukan rakyat akan terpancar jika beliau berundur sekarang supaya Dun Selangor dapat mencari seorang pengganti yang benar-benar layak, berkemampuan dan berkebolehan untuk melaksanakan tanggungjawab berat ini,” katanya.

 

Semasa memegang tampuk pemerintahan Selangor, Abdul Khalid antara individu yang paling giat berusaha untuk menyelesaikan isu air di Selangor sehingga termeterainya perjanjian antara Selangor dengan Kerajaan Persekutuan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.