PAS Tunggu Kelahiran Pakatan 2.0 Baru Beri Respons

KUALA LUMPUR – Pas mengambil sikap untuk tidak memberi sebarang respons terhadap ura-ura yang menyebut tentang ‘kemunculan’ Pakatan 2.0 yang dikaitkan dengan pemimpin progresif Pas yang menggelar diri mereka G18 selepas hari raya nanti.

 

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, sehingga hari ini cerita menubuhkan Pakatan 2.0 masih belum jelas.

 

“Kita tak boleh kata apa lagi sebab tak lahir lagi. Dah lahir nanti baru boleh respons. Setakat ini kita pun tak tahu sebab tidak ada lagi pertubuhan baharu itu. Kita pun tak tahu nak ukur bagaimana.

 

Kadang-kadang yang pergi dengar itu mungkin orang Pas lagi yang mahu tahu, macam Pasma dulu lah. Sebab itu kita tak boleh beri komen apa,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

 

Selasa lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkongsi gambar sekitar majlis berbuka puasa bersama pimpinan DAP dan Pas menulis bahawa, “walaupun keputusan Muktamar Pas untuk putus hubungan dengan DAP telah mematikan PR, tetapi malam ini (23 Jun) nampaknya beri harapan kepada kelahiran Pakatan 2.0.”

 

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dipetik sebuah portal mengesahkan pertemuan malam tadi sambil menyifatkan ia berjalan dengan baik serta dihadiri pemimpin kanan PKR dan DAP.

 

“Ia sangat berjaya dengan semua pemimpin kanan menyertainya,” sambil menambah G18 akan membuat pengumuman rasmi mengenai masa depan politik mereka  selepas Ramadan ini.

 

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu ketika ditanya, sama ada pertemuan tersebut membincangkan tentang ‘pakatan baharu’, beliau hanya menjawab, “tunggulah lepas raya nanti”. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.