Hadi Tak Sebut Anjing, Cuma Sebut Menyalak, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohammad menegaskan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyebut langsung perkataan anjing dalam ucapannya sebaliknya hanya menggunakan perkataan menyalak.

 

“Yang diucapkan ialah menyalak tapi orang terus terjemahkan menyalak itu anjing.

 

“Sebenarnya bukan beliau kata anjing. Tidak disebut pun perkataan anjing,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui, di sini, hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau menyifatkan salah anggap itu perkara biasa yang berlaku dalam kehidupan sehari-hari.

 

“Salah anggap itu biasa. Seperti kita memasak bubur lambuk dan letak banyak kacang tapi ada satu biji kacang itu busuk. Seluruh bubur itu dianggap rosak semua. Sedangkan hanya kerana sebiji kacang itu,” katanya.

 

Ucapan Abdul Hadi di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin menarik perhatian apabila beliau dilaporkan menggelar golongan yang menentang hudud sebagai anjing.

 

Namun Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu dalam ucapan selama satu jam setengah itu, Abdul Hadi telah memetik sebuah syair Arab sebagai kiasan.

 

“Dalam syair itu menyebut biarlah serigala menyalak, tetapi kabilah akan teruskan perjalanan. Biasanya masyarakat Arab yang pergi berjalan di padang pasir akan berdepan dengan anjing atau serigala yang menyalak.

 

“Syair itu membawa maksud agar kabilah tidak takut dengan anjing dan serigala dan teruskan perjalanan. Jadi ia sebagai kiasan atau kata-kata semangat kepada kita agar jangat cepat menyerah dalam perjuangan walaupun ada banyak cabaran,” katanya.

 

Beliau berharap tidak ada lagi pihak yang salah faham terhadap ucapan tersebut.

 

“Saya harap semua faham, ucapan ini bukan mengejek atau gelar sesiapa sebagai anjing.

 

“Ceramah Abdul Hadi berlangsung satu jam setengah, jadi tak boleh kita ambil satu patah perkataan saja lalu perbesarkannya. Sebab bidalan itu perlu dilihat konteks kiasan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.