‘Biar Saya Mati Sebagai Islam’

KRUBONG – Bimbang usia semakin meningkat menyebabkan seorang pengetua sekolah merealisasikan impiannya yang terpendam sejak kira-kira 25 tahun iaitu memeluk Islam.

 

R. Subramaniam, 58, melafazkan syahadah di hadapan Adun Durian Tunggal, Datuk Abdul Wahab Abdul Latif selepas solat Jumaat, kelmarin.

 

Mengambil keberkatan Ramadan, dia memilih Ahmad Ramadhan Subra sebagai nama Islamnya.

 

“Usia saya sudah nak masuk 59 tahun. Saya fikir biarlah saya mati sebagai seorang Muslim. Biarpun terpaksa mengambil masa 25 tahun tetapi saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana penuhi impian saya.

 

“Satu perkara yang menyentuh hati saya apabila semua sahabat menyokong dan membantu saya termasuk Pengarah Pelajaran negeri, rakan guru ada yang menangis sebak sebaik saya melafazkan kalimah syahadah. Memang ditakdirkan saya masuk Islam dalam bulan Ramadan ini,” katanya.

 

Menurutnya, dia sudah lama mendekati Islam apatah lagi kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.

 

“Biarpun saya belum memeluk Islam, banyak perkara yang saya ajar seperti pantun dan puisi ada menyentuh tentang keindahan Islam.

 

“Tapi impian untuk masuk Islam terpaksa saya tangguh selepas mendapat tentangan daripada keluarga terutama isteri yang masih belum terbuka hatinya,” katanya ketika ditemui pada majlis ringkas pengislamannya di Masjid Cina di sini, kelmarin.

 

Turut serta pada majlis itu, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Md Rashid Hussin serta rakan-rakan guru lain khususnya dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selandar.

 

Mengenai ibadah puasa, Ahmad Ramadhan berkata, amalan berpuasa tidak asing baginya kerana dia sudah melakukan sejak 10 tahun lalu.

 

“Sudah lebih 10 tahun saya berpuasa seperti seorang Muslim. Bagi saya, puasa sudah biasa. Kalau tak puasa, pukul 12 tengah hari dah lapar tapi bila puasa sampai sekarang tak rasa apa-apa,” katanya.

 

Bagaimanapun, katanya, dia amat berharap isterinya dan tiga anak berusia antara 21 dan 32 tahun terbuka hati untuk memeluk Islam sepertinya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.