Dua Kanak-Kanak Tiada Sijil Kelahiran

RANTAU PANJANG – Kesilapan sepasang suami isteri di Kampung Jakar tidak mendaftarkan perkahwinan di sini, membawa padah apabila dua anak mereka tidak mendapat sijil kelahiran.

Lebih malang, apabila bapa dua anak berkenaan meninggalkan mereka dan isteri, Hasnah Mustapha, 30, lebih dua tahun lalu.

Hasnah berkata, dia menyesal kerana terlalu mengikut perasaan berkahwin dengan suaminya di Thailand, lapan tahun lalu.

Menurutnya, ia menyebabkan anaknya, Puteri Normanisha Nadia Mohd Zulkhafar, 7, dan Mohd Putera Syaminazulkarnain, 22 bulan tidak mempunyai sijil kelahiran sekaligus membantutkan usaha bagi urusan pendaftaran ke sekolah.

“Walaupun anak yang sulung dilahirkan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) Kota Bharu manakala yang bongsu di Hospital Pasir Mas, namun permohonan tidak dapat diproses kerana gagal mengemukakan sijil nikah yang diperakui kerajaan.

“Saya sedih mengenangkan masa depan mereka kerana bukan sahaja tidak mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain, malah mempengaruhi taraf kerakyatan di masa depan,” katanya.

Hasnah mengakui, dia dan suami tidak mendaftarkan semula perkahwinan mereka di sini kerana  berdepan dengan masalah kewangan.

Ketika itu katanya, dia tidak menyangka perkara itu akan mempengaruhi proses permohonan mendapatkan sijil lahir anak-anak.

Bagi mengatasi masalah itu,  Hasnah cuba membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pasir Mas namun gagal.

“Sekiranya saya ditimpa bencana, saya risau dengan masa depan mereka kelak. Sudahlah ditinggalkan bapa, malah tidak dapat mengadu nasib kerana tidak mempunyai sijil kelahiran,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/dua-kanak-kanak-tiada-sijil-kelahiran-1.294617

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.