4 Langkah Kekang Seleweng Minyak

KOTA KINABALU 28 Jun – Kerajaan menetapkan empat langkah bagi mengekang kegiatan penyelewengan dan ketirisan penjualan diesel dan petrol bersubsidi di seluruh negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, langkah pertama khusus bagi Sabah iaitu kuota penjualan diesel dan petrol di setiap stesen minyak di daerah-daerah pantai timur Sabah dihadkan kepada 600,000 liter sebulan berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Ketika ini, penjualan diesel antara 100,000 dan 700,000 liter sebulan. Jadi melihat isu penyeludupan dan penyelewengan diesel subsidi ke negara jiran, kita memutuskan penjualan diesel dan petrol dihadkan kepada 600,000 liter setiap stesen minyak setiap bulan.

“Terdapat 72 stesen minyak di daerah berkaitan bermula dari Kudat, Semporna hingga Tawau,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Alias, pengusaha stesen minyak perlu memohon kepada Pengarah KPDNKK Sabah, Severinus Tukah bagi pertimbangan untuk mendapatkan kuota tambahan.

Langkah kedua pula, kata beliau, membabitkan kelulusan kuota bahan api bersubsidi itu bagi setiap stesen minyak di seluruh negara akan ditetapkan oleh KPDNKK negeri dan tidak lagi oleh syarikat-syarikat minyak dan gas seperti sebelum ini, berkuat kuasa 1 Ogos.

“Langkah kedua ini akan dimasukkan sebagai syarat wajib bagi setiap pam stesen dan mereka perlu membuat laporan bulanan kepada KPDNKK negeri bagi jualan setiap bulan bagi diesel dan petrol RON95,” katanya.

Bagi langkah ketiga pula, katanya, KPDNKK mengarahkan pengusaha pengangkutan minyak subsidi yang mendapat kontrak dengan syarikat-syarikat minyak dan gas menyeragamkan warna lori tangki kepada warna biru dan mempunyai tulisan bersaiz besar ‘minyak subsidi’, berkuat kuasa 1 Januari 2015.

“Syarat itu akan dimasukkan dalam permohonan lesen surat kebenaran PDA 3 (untuk pengangkutan bahan-bahan petroleum)…sekarang kita mendapati ada pelbagai warna…(ini) bagi mengelak mereka menyelinap dan memasuki kawasan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Bagi langkah keempat, beliau berkata, ia membabitkan syarat bagi permohonan kuota khas tambahan pada fleet card bagi kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah, bas ekspres, bas mini, bas henti-henti, kereta sewa, teksi dan ambulans.

“Ketika ini, mereka menikmati subsidi RM1.68 seliter dan apabila habis kuota mereka layak mendapat kuota tambahan dengan harga RM2 seliter tanpa had. Kini untuk permohonan kedua (kuota tambahan) mereka perlu memohon kepada KPDNKK negeri dengan had 500 liter bagi mengelak penjualan kepada pihak lain,” katanya.

Tambah beliau, kesemua langkah tersebut diambil selepas mengadakan perbincangan dengan semua KPDNKK negeri dan mendapat persetujuan menterinya, Datuk Seri Hasan Malek bagi memastikan bantuan subsidi tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain itu, kementerian akan meningkatkan pemantauan terhadap pengaliran bahan api bersubsidi itu agar dapat dinikmati golongan yang layak.

Menurut Alias, kerajaan memperkenalkan subsidi diesel bermula 1999 dengan peruntukan RM83 juta dan sehingga tahun lepas, kerajaan membelanjakan RM9.6 bilion bagi subsidi diesel

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140629/dn_07/4-langkah-kekang-seleweng-minyak#ixzz3603wOtgD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.