KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar wajar membuktikan prestasi cemerlang PKR dalam keputusan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang bagi memadamkan semua persepsi negatif yang terpalit susulan kemenangan majoriti besar anak Perdana Menteri itu sewaktu perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan Izzah harus membuktikan kemampuan beliau menggalas tugas jawatan nombor dua PKR selepas diberi mandat oleh sebahagian besar perwakilan PKR itu tidak sia-sia.
“Untuk Izzah beliau menang dengan majoriti yang besar dan sekarang ini adalah waktu untuk beliau membuktikan bahawa kepercayaan dan mandat yang diberi oleh sebahagian besar daripada perwakilan PKR itu tidak sia-sia.
“Izzah kena buktikan bahawa segala persepsi yang mengaitkan kemenangan ini dengan isu keluarga, isu nepotisme dapat dipadamkan dan ia hanya dapat dipadamkan melalui prestasi.
“Kalau beliau dapat menunjukkan prestasi yang baik terutamanya pada KPI yang paling utama iaitu PRU16, saya rasa tidak ada ramai yang boleh mempertikaikan beliau lagi.
“So now of course adalah masa untuk beliau membuktikan bahawa she deserves the role as Timbalan Presiden dan dia akan dapat melaksanakan tugas itu dengan baik,” ujar Khairy dalam audio siar Keluar Sekejap.
Nurul Izzah Anwar telah menang jawatan Timbalan Presiden PKR dengan 9,803 undi, mengalahkan Datuk Seri Rafizi Ramli yang memperoleh 3,866 undi.