Gunung Berapi Jepun Meletus

Tokyo – Sebuah gunung berapi yang terletak di Pulau Kuchinoerabu, selatan Jepun meletus secara tiba-tiba hari ini.

 

Gunung Shindake meletus kira-kira jam 10 pagi tadi (waktu tempatan), dengan mengeluarkan gas panas, debu dan asap hitam ke udara.

 

Menurut laporan NHK, gunung itu turut mengeluarkan serpihan batu di sekitar puncak gunung dan ke dalam laut.

 

Namun, tiada sebarang kecederaan mahupun kematian dilaporkan di pulau itu, setakat ini.

 

Ketua jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga memberitahu wartawan, pengawal pantai telah menghantar sebuah kapal untuk membantu memindahkan penduduk pulau itu.

 

Sementara itu, ketua kampung di pulau berkenaan, Nobuaki Hayashi berkata, kira-kira 120 daripada 137 penduduk telah berkumpul di sebuah pusat pemindahan sementara.

 

“Kami terdengar bunyi dentuman kuat, kemudian kami nampak asap hitam, menyebabkan langit bertukar menjadi gelap. Baunya seperti sulfur,” katanya.

 

Agensi Meteorologi Jepun menaikkan amaran gunung berapi ke tahap lima, iaitu tahap tertinggi. Shindake meletus buat pertama kalinya pada Ogos tahun lalu, sejak 1980.

 

Kira-kira 140 orang menghuni di pulau itu yang terletak kira-kira 160 kilometer dari selatan Loji Janakuasa Nuklear Sendai di Pulau Kyushu, selatan Jepun.

 

Tidak diketahui jika letusan itu boleh menjejaskan harapan syarikat pengendali untuk memulakan semula operasi loji janakuasa itu yang telah melepasi langkah terakhir pemeriksaan keselamatan ketat, kelmarin.

 

Orang ramai boleh pergi ke Pulau Kuchinoerabu, dengan menaiki feri yang hanya beroperasi sekali sehari dari Pulau Yakushima, 12 kilometer ke timur, yang mempunyai sebuah lapangan terbang serta lebih 13,000 penduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.